Sabtu, 11 Mei 2019 | 2:00pm
PELAKON, Dynas Mokhtar.

Dynas bakal sambut anak ketiga 18 Mei

KUALA LUMPUR: Berbeza dengan kehamilan terdahulu, berat badan pelakon, Dynas Mokhtar, naik mendadak sejak mengandungkan anak ketiga.

Dijangka melahirkan seorang putera pada 18 Mei depan, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, beratnya kini sudah mencecah 80 kilogram.

“Boleh dikatakan, inilah jumlah berat paling tinggi pernah saya catat, berbanding ketika mengandungkan Qaish dan Khyra dahulu. Rasanya, memang saya perlu bekerja keras untuk menurunkan berat badan selepas melahirkan anak ketiga nanti.

“Kebetulan selepas habis berpantang, saya perlu memasuki set penggambaran drama, KL Gangster Underworld, untuk siaran iflix,” katanya yang bakal memegang watak jahat, Madam Wong, dalam naskhah terbabit.

Dynas berkahwin dengan ahli perniagaan, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 37, pada April tahun lalu. Ia adalah perkahwinan kedua buat pelakon terbabit.

Menerusi perkahwinan pertama dengan Mohd Hafizy Hafiz (2008-2014), Dynas dikurniakan sepasang cahaya mata, Khyra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 6.


DYNAS bersama suami, Mohamad Shazrik Che Mohd Din. - Foto Instagram Dynas

Berikutan keadaannya yang sarat itu juga Dynas kini kurang pasti akan dapat menyertai teman baiknya menjayakan program amal The Celepets, pada bulan mulia ini.

“Kalau masih kuat, saya pasti menggagahkan diri untuk bersama-sama teman lain seperti Sazzy Falak, Aishah Sinclair, Daphne Iking, Yasmin Hani, Serena C dan Atilia untuk acara itu.

“Saban tahun, kami adakan acara amal berkenaan bagi membantu mereka yang memerlukan. Tambah pula kali ini, genap 10 tahun penubuhan The Celepets,” katanya yang mengalu-alukan sokongan ramai dalam menjayakan misi amal terbabit, dengan merujuk laman Instagramnya dan teman yang lain.


DYNAS dijangka melahirkan anak ketiga pada 18 Mei ini. - Foto Instagram Dynas

Dalam perkembangan lain, Dynas meluahkan keterujaan kerana bakal membuka kafe butik di Shah Alam.

“Insya-Allah, ia akan mula beroperasi selepas hari raya ini. Kafe terbabit akan menyediakan hidangan campuran Melayu, selain menjual pakaian lelaki, wanita, kanak-kanak dan ibu mengandung,” katanya.

Berita Harian X