Ahad, 12 Mei 2019 | 1:27pm
EPISOD hitam dalam rumah tangga membuatkan Mia dan suami lebih mengenali antara satu sama lain. Foto Aziah Azmee

Saya cuma nak bahagia dan tenang - Mia Ahmad

KUALA LUMPUR: Sekalipun luka masih terasa, pelakon Mia Ahmad, 31, kental dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga yang pernah dilanda badai.

Pelakon drama Hati Perempuan itu berkata, tiada guna terus memahat duka yang berpanjangan, malah dia dan suaminya yang juga penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan enggan lagi mengenang kisah lalu.

Biarpun memerlukan masa untuk merawat duka, ibu kepada Sayf Issa itu mengakui, dia menerima pelbagai reaksi apabila kepincangan rumah tangganya diketahui umum.

“Ada yang menuduh saya ‘meroyan’ dan sengaja menyelak aib rumah tangga, tetapi suami tahu kenapa dan mengapa saya berbuat sedemikian. Orang luar hanya tahu cakap dan menuduh, tetapi mereka tidak berada dalam situasi saya.

“Saya marah, malah jadi tidak rasional kerana dugaan itu berlaku ketika baru dua minggu melahirkan anak. Mujur saya tidak meroyan. Saya anggap ini sebagai sebahagian ujian awal dalam perkahwinan.

“Apa yang penting, saya dan suami sudah melepasi detik sukar yang hampir menghancurkan kebahagiaan kami. Saya sudah memaafkan suami dan tidak mahu mengungkitnya lagi,” katanya.

Mia berkata, hubungannya dan suami juga sudah kembali pulih dan mereka masih dalam proses memperbaiki setiap kekurangan.

“Apabila berdepan dengan episod hitam, kami lebih mengenali antara satu sama lain. Saya hanya mahu bahagia dan tenang apabila memilih untuk mempertahankan rumah tangga.

“Tidak terlintas di fikiran untuk menjaja kisah rumah tangga. Dahulu, saya hanya memberikan bayangan dan tidak mendedahkan segala kekusutan yang kami lalui,” kata wanita kelahiran Taiping, Perak itu.

Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi berkata, dia juga banyak bermuhasabah diri dan memohon petunjuk Allah ketika melalui ujian rumah tangga.

"Saya buat solat istikharah untuk meminta petunjuk. Apabila api kemarahan sudah reda, saya kembali berfikir secara matang. Suami pula lebih tenang dan tidak pernah menyalahkan saya. Dia tahu, saya tidak sepatutnya menanggung ujian ini.

“Saya tidak mampu mengawal hati manusia kerana bukan kita yang memegangnya. Soal kepercayaan, saya tiada jawapan buat masa ini. Saya tidak mahu lagi memikirkannya.

“Ibu dan bapa banyak menasihatkan kami. Lama kelamaan, saya dapat memujuk hati dan terfikir setiap manusia berhak memiliki peluang kedua dalam hidup,” katanya.

Berita Harian X