Isnin, 13 Mei 2019 | 9:00am
ZIZI Kirana mencari lelaki yang lancar membaca al-Quran, selain dapat membimbingnya ke jalan benar. Foto Nurul Syazana Rose Razman
ZIZI Kirana mencari lelaki yang lancar membaca al-Quran, selain dapat membimbingnya ke jalan benar. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Nak berubah biar ikhlas - Zizi Kirana

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang dicungkil bakat menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketujuh, Zizi Kirana, 34, tidak kisah dengan pandangan orang terhadap dirinya.

Biarpun sering dicemuh apabila tampil berpakaian mencolok mata, jauh di sudut hati penyanyi yang terkenal dengan lagu Nak Ke Tak Nak itu, sememangnya berharap untuk berubah.

“Siapa cakap saya tidak mahu berubah? Mungkin buat masa ini, saya belum dapat hidayah, tetapi kita tidak tahu akan datang.

“Siapa tahu, saya akan berubah ke arah kebaikan apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak? Walaupun sering tampil seksi, saya bukan wanita liar,” katanya.

Zizi berkata, sebagai wanita, dia mengimpikan lelaki yang boleh membimbing dan membawanya ke jalan yang benar.

Justeru, anak sulung daripada lima beradik itu meletakkan syarat, lelaki idamannya perlu pandai membaca al-Quran.

“Ia menjadi antara 14 syarat utama yang saya gariskan dalam mencari bakal suami. Jika tiada ciri-ciri ini, agak berat untuk saya menerima.

“Tidak dinafikan, sukar untuk mencari lelaki yang pandai mengaji al-Quran ketika ini. Jika tidak pandai mengaji, awal lagi saya sudah tolak.

“Syarat lain, dia juga bukan kaki pusat hiburan dan pemabuk, selain bebas daripada anasir dadah. Saya tidak mahu terima lelaki seperti itu kerana ia menyebabkan rumah tangga kucar-kacir,” katanya.

Penampilan terbaru Zizi yang bertudung ketika menjayakan program Islam Itu Indah terbitan Broadway Media Sdn Bhd dengan kerjasama Trans TV di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini mendapat pujian ramai.

Zizi bagaimanapun, menegaskan dia masih belum bertudung, sebaliknya hanya mengenakan hijab ketika menjadi tetamu program itu.

“Itu kali pertama saya menerima banyak komen positif. Sebelum ini, asyik kena kutuk sahaja. Saya bukan menolak apabila peminat meminta saya memakai tudung, tetapi belum masanya lagi.

“Saya mahu berubah dengan hati yang ikhlas, bukan dipaksa-paksa. Mengenakan hijab memerlukan keikhlasan hati dan apabila sampai masanya, saya akan buang dahulu imej seksi.

“Jujurnya, saya mahu bertudung, suatu hari nanti, insya-Allah. Saya mahu melakukannya tanpa dipaksa, termasuk daripada bakal suami. Saya bimbang jika dipaksa, saya akan memakainya tidak ubah seperti fesyen.

“Sebelum apa-apa berlaku, saya menuntut pengertian bakal suami supaya memberi saya ruang untuk berubah,” katanya yang kini sibuk mempromosikan lagu terbaru Pendekar Pena, kolaborasi bersama Altimet.

Berita Harian X