Isnin, 13 Mei 2019 | 12:54pm
NABILA menyifatkan Keisha sebagai anak yang kuat kerana menempuh pengalaman hidup mencabar pada usia muda. Foto IG Nabila Huda

'Ramai mengata saya tak pandai didik anak'

KUALA LUMPUR: Pelakon Nabila Huda bersyukur dikurniakan anak, Keisha Laila, 9, yang begitu memahami, meskipun cara dia membesarkan permata hatinya itu tidak diterima semua.

Nabila atau nama penuhnya, Nabila Huda Suhaimi, 35, akur dirinya bukan ibu yang sempurna, namun baginya, tuduhan tidak pandai mendidik anak sangat melukakan hati.

Nabila dalam luahannya di laman sosial, Instagram, semalam sempena sambutan hari ulang tahun Keisha dan Hari Ibu menyifatkan, kehadiran anak tunggalnya itu memberi kegembiraan, sekali gus membentuknya menjadi lebih matang.

“Ramai di belakang yang mengata dan menyifatkan saya sebagai ibu yang tidak membesarkan zuriat dengan sempurna, selain memberi pengaruh buruk dan merosakkan hidup anak.

“Benar, ia sangat melukakan, tetapi Keisha lebih memahami saya berbanding orang lain. Dia tidak pernah menilai diri dan kehidupan lampau ibunya.

“Terima kasih kerana hadir dalam hidup ini. Kiesha mengubah saya menjadi seorang yang lebih baik. Dia juga membuatkan ibunya gembira dan lebih matang,” luahnya.

Nabila berkata, dia sebak melihat foto anaknya yang dimuat naik di Instagram kerana ia menyimpan pelbagai memori yang mereka lalui bersama.

Pelakon filem Munafik itu turut menyifatkan Keisha sebagai anak yang kuat kerana turut melalui pengalaman yang sama dengannya apabila terpaksa menempuh dugaan pada usia muda.

Nabila juga bersyukur, anaknya itu begitu memahami minat dan cintanya terhadap dunia lakonan, meskipun terpaksa berkorban kerana tidak punya banyak masa bersama.

“Saya bersyukur Keisha faham. Saya selalu tegaskan, walaupun saya dan bapanya sudah berpisah, hidup perlu diteruskan. Jangan sesekali menyalahkan sesiapa dan sentiasa memaafkan orang yang menyakiti hati,” katanya.

Mengakui sukar membayangkan jika dirinya hidup tanpa anak kesayangannya itu, Nabila berkata, dia sentiasa mempersiapkan diri untuk melepaskan Keisha.

“Saya sudah bersedia jika nanti Keisha hilang dalam hidup kerana suatu hari nanti, dia akan meninggalkan saya demi mengejar cita-citanya,” kata Nabila.

Berita Harian X