X
Isnin, 20 Mei 2019 | 8:25am
IMEJ terbaru Hael yang bertambah berat badan 10 kilogram. Hael dan Dayang Nurfaizah menghadiri majlis berbuka puasa eksklusif di sebuah premis acara di Shah Alam, malam tadi. - Foto IG Hael Husaini
IMEJ terbaru Hael yang bertambah berat badan 10 kilogram. Hael dan Dayang Nurfaizah menghadiri majlis berbuka puasa eksklusif di sebuah premis acara di Shah Alam, malam tadi. - Foto IG Hael Husaini

'Badan naik sebab ubat'

SHAH ALAM: Sukar menjelaskan penyakit dihidapi, Hael Husaini mengaku berat badannya naik 10 kilogram (kg) akibat ubat yang diambil sejak sebulan lalu.

Hael yang mencipta populariti dengan lagu Jampi memberitahu, dia sudah merujuk kepada doktor bagi mencari penawar saintifik terhadap masalah itu.

“Saya berdepan dengan penyakit ini sejak dua bulan lalu. Saya cuba kuat kerana jadual kerja yang padat. Akibat kurang rehat, penyakit ini bertambah mudarat.

“Selain mengambil antibiotik mengikut dos ditetapkan, steroid membuatkan berat badan saya naik mendadak.

"Tidak cukup itu, saya dikecam dan dilemparkan kata-kata negatif di media sosial mengenai pertambahan berat badan ini," katanya kepada BH Online.

Hael berkata, dia bukan sengaja enggan berkongsi mengenai penyakit yang dihidapinya.

Hael mengaku berat badannya naik 10 kg akibat ubat yang diambil sejak sebulan lalu. - NSTP/Sairien Nafis
Hael mengaku berat badannya naik 10 kg akibat ubat yang diambil sejak sebulan lalu. - NSTP/Sairien Nafis

"Saya tak mahu menjadikan penyakit itu sebagai alasan atas semua ini. Sukar untuk saya jelaskan lebih lanjut mengenai kesihatan diri," katanya.

Tambah Hael, penyakit yang dihadapinya itu dilihat datang dan pergi mengikut situasi. Ada pihak turut mencadangkan dia mendapatkan rawatan alternatif bagi mengatasinya.

"Sebenarnya, saya kurang percaya perkara ini dan memilih untuk menggunakan kaedah saintifik terlebih dahulu.

"Alhamdulillah, buat masa ini, saya sudah sihat dan boleh kembali fokus kepada kerjaya.

“Jika keadaan kesihatan kurang memberangsangkan, apabila tiba masanya nanti, saya akan mendapatkan nasihat mereka yang arif berhubung perkara ini," katanya.

Berkongsi perkembangan karier, Hael bakal melancarkan video muzik lagu raya berjudul Bersyukur Seadanya, Jumaat ini.

Malam tadi, Hael menghadiri majlis berbuka puasa eksklusif bersama Dayang Nurfaizah di sebuah premis acara, di sini.

Hael menghadiri majlis berbuka puasa eksklusif bersama Dayang Nurfaizah di sebuah premis acara, di Shah Alam, malam tadi. - NSTP/Sairien Nafis
Hael menghadiri majlis berbuka puasa eksklusif bersama Dayang Nurfaizah di sebuah premis acara, di Shah Alam, malam tadi. - NSTP/Sairien Nafis

Berita Harian X