Isnin, 20 Mei 2019 | 9:00am
Ain yang bakal bertunang, bulan depan, merancang bernikah dengan jejaka pilihan hati, Disember ini. Foto NSTP Aziah Azmee

Ain Edruce nikah Disember depan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Ain Edruce yang bakal bertunang dengan pelumba kereta, berharap dapat melangsungkan perkahwinan, Disember depan.

Ain, 28, enggan ‘diikat’ terlalu lama, apatah lagi, dia dan calon teman hidup, masing-masing sedia memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

“Kami sudah kenal hati budi masing-masing lebih setahun. Pada awalnya, memang ada perancangan bernikah Februari tahun depan.

“Namun, selepas berbincang dan keluarga lebih gembira kalau dipercepatkan, jadi kami pilih akhir tahun ini untuk majlis istimewa itu.

“Lokasi majlis belum ditetapkan kerana kami mencari tempat sesuai,” katanya kepada BH Online.

Pada 18 April lalu, pelakon drama 30 Pesanan Suara itu dirisik ahli perniagaan dan pelumba kereta, Amirul Hafiz, 26. Mengikut perancangan, mereka bakal bertunang pada 22 Jun depan.

Ain berkata, sambutan Syawal kali ini lebih sederhana berikutan fokus dirinya lebih kepada majlis pertunangan dan persediaan perkahwinan.

“Tahun ini, saya tak beriya-iya membuat persiapan raya. Tumpuan lebih diberi kepada persiapan majlis pertunangan, bulan depan.

“Saya dan Amirul belum sempat menghadiri kursus kahwin kerana sibuk. Namun, saya teruja hendak pergi berkursus bersamanya kelak.

“Kalau bakal pengantin lain buat persiapan setahun lebih awal, kami baru hendak mula. Doakan semoga urusan kami dipermudahkan,” katanya.

Berita Harian X