Isnin, 20 Mei 2019 | 11:00am
Ruhainies enggan mendedahkan wajah teman lelaki di media sosial kerana tidak mahu membuka ruang kepada kritikan netizen. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad
Ruhainies enggan mendedahkan wajah teman lelaki di media sosial kerana tidak mahu membuka ruang kepada kritikan netizen. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

Ruhainies enggan dedah wajah 'Mr E'

KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies masih enggan mendedahkan wajah kekasih, ‘Mr E’, yang menetap di London, United Kingdom (UK) bagi mengelak jejaka terbabit ‘diserang’ netizen.

Akui Ruhainies, selagi belum ada ikatan sah antara mereka, lebih baik dia merahsiakan identiti si dia di laman sosial.

“Saya ada sebab sendiri sehingga terpaksa menutup mukanya di Instagram. Dia faham alasan saya berbuat demikian.

“Rasanya, lebih baik saya tutup muka supaya tiada ‘mulut-mulut jahat’ menyerang atau bercakap buruk mengenai dirinya kerana tidak tahu siapa dia.

“Andai si dia sudah sah menjadi suami, saya tidak boleh berbuat apa-apa kalau orang masih mahu bercakap buruk mengenai dirinya,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, mendedahkan hatinya sudah dimiliki seorang jejaka Melayu menetap di London yang dikenali sebagai ‘Mr E’.

Walaupun kerap memuat naik gambar bersama, Ruhainies merahsiakan identiti kekasih dengan tidak menonjolkan wajah atau menutup muka pemuda itu.

Ditanya mengenai fasa hubungan mereka, Ruhainies berkata, dia tidak akan berkahwin dalam tempoh terdekat disebabkan enggan ‘melangkah bendul’.

Tambahnya, ibu berpesan agar dia menunggu kakak, pelakon, Risteena Munim berkahwin dahulu.

“Buat masa ini, kami belum ada rancangan mendirikan rumah tangga walaupun serius dalam perhubungan ini.

“Kakak pernah cakap dia tak kisah kalau saya berkahwin dulu. Tetapi saya ingat pesan emak jangan ‘langkah bendul’,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X