Selasa, 21 Mei 2019 | 11:00am
Rashidi berharap peminat berhenti cuba menyatukan dirinya dengan bekas isteri, Vanidah Imran. Foto Nurul Syazana Rose Razman
Rashidi berharap peminat berhenti cuba menyatukan dirinya dengan bekas isteri, Vanidah Imran. Foto Nurul Syazana Rose Razman

'Cukup-cukuplah peminat'

KUALA LUMPUR: Sejak mengumumkan perceraian, Mac lalu, masih ada peminat berharap Rashidi Ishak dan Vanidah Imran bersatu kembali.

Sedar impian yang dikongsi peminat, Rashidi bagaimanapun, berharap perkara itu tidak diungkit lagi. Apatah lagi dirinya tidak meletakkan harapan untuk rujuk dengan bekas isteri.

“Harapan saya sebenarnya sudah hilang saat saya melafazkan talak terhadap bekas isteri.

“Iya, saya tahu jodoh itu rahsia Allah. Tetapi buat masa sekarang, untuk kembali bersama bekas isteri, bukanlah satu pilihan.

“Saya tahu ramai peminat mengharapkan keajaiban. Namun, cukup-cukuplah cuba menyatukan kami berdua.

“Ini kerana saya dan Vanidah sudah meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Mac lalu, Rashidi mengesahkan dia dan Vanidah bercerai di Mahkamah Syariah di sini, pada 9 Ogos tahun lalu.

Rashidi dilaporkan berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita perpisahan mereka, sebaliknya berbuat demikian demi menjaga perasaan dan privasi kedua-dua pihak.

Rashidi berkata, hubungan dirinya dan Vanidah baik atas urusan anak-anak.

“Rasanya lebih baik begitu kerana selain menjadi ibu bapa kepada dua anak, kami sudah tiada hubungan lain,” katanya.

Ditanya apakah dia terbuka untuk menjalin hubungan baharu, Rashidi tidak menolak.

“Iya, sekarang saya memang berkawan dengan semua orang. Jika ada jodoh, saya tidak menolak.

“Mungkin orang akan fikir terlalu cepat. Tetapi sampai bila saya perlu bersedih. Lumrah manusia mahukan teman dalam hidup,” katanya.

Mengenai sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, Rashidi tidak melihat soal status dirinya sekarang sebagai perubahan ketara.

“Sama sahaja. Cuma saya sudah tidak beristeri... Itu sahaja.

“Anak-anak masih ada. Saya tidak berasa terlalu kehilangan. Mungkin sudah biasa dengan kehidupan solo selepas bercerai.

“Cuma dalam soal siapa yang akan beraya dengan anak-anak terlebih dahulu, kami belum berbincang. Tetapi rasanya tiada masalah kerana Vanidah beraya di sini,” katanya.

Rashidi, 45, dan Vanidah, 46, mendirikan rumah pada 1 Oktober 2000. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Mikhail Imran, 18 dan Maryam Rashika, 15.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X