Selasa, 21 Mei 2019 | 12:06pm
Selepas tiga tahun tidak mendapat tawaran berlakon, Mia kembali ke lokasi penggambaran dengan semangat baharu. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman
Selepas tiga tahun tidak mendapat tawaran berlakon, Mia kembali ke lokasi penggambaran dengan semangat baharu. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

Eksklusif: Siri Satu Laporan Khas Nasib Bakat Cilik

KUALA LUMPUR: Industri hiburan pernah menyaksikan kehadiran pelakon cilik berbakat. Nama seperti Mia Sara Nasuha, Puteri Balqis, Rykarl Iskandar, Jay Nazif dan Muhammad Arif Abdullah ialah antara pelakon kanak-kanak yang pernah menyerlah.

Keampuhan pelakon cilik ini terbukti apabila Puteri Balqis pernah menghampakan nama berpengalaman apabila meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Skrin Ke-18, seterusnya meraih kecemerlangan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia Ke-19.

Namun, peralihan usia dan masa perlahan-lahan menenggelamkan bakat yang sedikit masa lalu dilihat mampu menjadi pelapis dalam industri drama dan perfileman tempatan.

Populariti yang diraih juga suram, seiring peningkatan usia, malah Puteri Balqis umpamanya, terpaksa memperlahankan aktiviti seni apabila bergelut dengan masalah kesihatan.

Di mana silapnya hingga menyebabkan bakat mereka terpinggir? Apakah mungkin pengaruh karakter kanak-kanak yang sudah sebati di mata penonton menyebabkan mereka sukar meraih peluang apabila mula meningkat remaja?

Mia Sara Nasuha, 14, mengakui, dia pernah berasa terpinggir hingga menimbulkan desas-desus dia berundur dari dunia lakonan apabila mengambil keputusan berhijab selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 2015.

Pelakon yang pernah membintangi filem Sekali Lagi, Papa I Love You dan Legenda Budak Setan 3: Kasyah itu berkata, sepanjang tiga tahun lalu, dia meniti fasa sukar kerana minatnya terhadap dunia seni masih membara.

“Saya memperlahankan aktiviti lakonan kerana mahu memberi fokus kepada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Sejak itu, tawaran mula berkurangan hingga ada yang menganggap, saya tidak lagi berlakon. Saya terfikir, mungkin tiada karakter yang bersesuaian memandangkan saya sudah meningkat remaja dan berhijab.

“Mungkin bagi segelintir pengarah, ia memberikan cabaran. Tetapi, sebagai pelakon, saya perlukan ruang untuk mencabar diri,” katanya yang kali terakhir berlakon sebelum Ramadan pada 2016.

Remaja yang pernah diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-25 menerusi filem Sekali Lagi itu berkata, dia pernah tertekan apabila langsung tidak menerima tawaran berlakon.

Tiga tahun tanpa tawaran, Mia menganggap, tempoh itu sebagai fasa paling menguji kerana minatnya terhadap lakonan tidak pernah pudar.

“Biarpun bertudung, saya tidak pernah membataskan diri hanya menerima karakter baik dan sopan. Saya sentiasa menanti peluang untuk mencuba karakter baharu.

“Sebelum ini, saya begitu sinonim dengan watak kanak-kanak. Jadi, saya ingin penonton melihat kelainan dalam diri, namun peluang dinanti itu tidak menjelma.

“Ketika masih aktif, saya gemar bergaul dengan pelakon dewasa dan melihat cara mereka berlakon. Saya sentiasa berusaha memperbaiki mutu lakonan.

“Biarpun tiada tawaran, saya tetap menanti dan yakin peluang akan datang tepat pada masanya. Tidak mahu dilupakan, saya fokus pada perniagaan. Alhamdulillah, ramai yang masih ingat kehadiran saya,” katanya.

Mia berkata, dia bertuah kerana media sosial banyak membantu mengeratkan hubungannya dengan peminat. Namun, kata Mia, dia paling tidak selesa jika dilabel sebagai ‘instafamous’ kerana jiwa seninya masih menebal.

Dia bagaimanapun, bersyukur kerana sentiasa beringat ketika namanya di puncak. Mia bertuah kerana bapanya,

Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh mendidiknya supaya menabung sejak muda.

“Saya menabung bukan hanya untuk masa hadapan, tetapi juga ketika diperlukan. Alhamdulillah, papa bijak menguruskan soal kewangan kerana tidak mahu ia disalahgunakan.

“Saya berlakon bukan semata-mata kerana wang, sebaliknya lebih kepada minat. Soal bayaran atau pendapatan, semua itu papa yang uruskan.

“Alhamdulillah, kebelakangan ini saya mula kembali menerima tawaran berlakon. Sedikit sebanyak dapat juga mengubat kerinduan untuk kembali ke lokasi penggambaran,” katanya.

Penangan watak Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaiku tiba-tiba meledakkan populariti Muhammad Ariff Abdullah atau Arif.

Hampir tiga tahun berlalu, populariti yang diraih remaja berusia 15 tahun itu mulai suram. Hanya sesekali tawaran diterimanya, membuatkan namanya kurang menyerlah.

Ibunya, Mastura atau Rosdiana Mastura Abdullah, 33, dia bagaimanapun, bersyukur kerana Ariff tidak dilupakan, malah terbaru, menjayakan telefilem untuk siaran TV3 sempena musim Syawal.

“Dahulu ada juga yang menawarkan peluang untuk berlakon filem. Namun, selepas Jibam, Ariff lebih banyak membintangi drama dan telefilem.

“Tawaran juga tidak sehebat dahulu. Bukan disebabkan tiada tawaran, tetapi kekangan masa menyebabkan Ariff terpaksa melepaskan peluang.

“Kami hanya akan menerima tawaran yang bersesuaian dengan jadual persekolahannya, selain berbaloi dengan perbelanjaan memandangkan Ariff tidak menetap di ibu negara.

“Kami hanya mempertimbangkan tawaran berlakon telefilem kerana tidak memakan masa lama. Kami menetap di Jitra, Kedah, jadi banyak faktor lain, termasuk kos pengangkutan dan penginapan perlu difikirkan. Jika tidak berbaloi, lebih baik kami tolak,” katanya.

Memandangkan dia bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Mastura dan suaminya, Abdullah Kassim, 55, mahu Ariff menumpukan pada pelajaran terlebih dulu.

Akui Mastura, minat Ariff terhadap lakonan masih mendalam, justeru mereka bersedia mempertimbang setiap tawaran yang datang.

“Dia tidak pernah mengadu atau merungut letih untuk berlakon. Alhamdulillah, orang masih watak Buntat. Ia bagaikan sudah menjadi jenama dan saya percaya, nama itu membawa rezeki kepadanya,” katanya.

Menyentuh soal bayaran, Mastura berkata, perkara itu tidak pernah menjadi isu. Asalkan setimpal, mereka bersedia mempertimbangkan.

“Ariff bukan pelakon yang popular, jadi untuk meletakkan bayaran yang tinggi, rasanya tidak adil. Tetapi, biarlah ia berpatutan dengan komitmen. Bukan kuasa kami untuk meletak harga yang tinggi,” katanya.

Berita Harian X