Rabu, 22 Mei 2019 | 2:39pm
AIDIL tidak mampu menahan air mata apabila mendapat tahu isterinya hamil tiga minggu. Foto IG Fasha Sandha

'Ini kali kedua suami menitiskan air mata'

KUALA LUMPUR: Melihat suaminya, Aidil Aziz menitiskan air mata sebaik mengetahui dirinya berbadan dua cukup menyentuh hati pelakon jelita, Fasha Sandha.

Ibu dua cahaya mata itu bersyukur, dikurniakan Allah rezeki hamil ketika dia dan suaminya masih lagi dalam fasa berbulan madu selepas diijabkabulkan pada 30 Mac lalu.

“Saya hanya mampu memanjat kesyukuran. Ini kali kedua saya melihat suami mengalirkan air mata. Kali pertama, dia menitiskan air mata ketika hari pernikahan kami.

“Saya tahu masih terlalu awal untuk berkongsi berita gembira ini, namun tidak mengapa. Saya berdoa semoga kandungan ini selamat sehingga detik kelahiran,” luah pelakon yang sedang hamil tiga minggu itu menerusi Instagram.

Bakal melahirkan anak pada 2 Februari tahun depan, Fasha berkata, Aidil memang berharap mereka dikurniakan anak awal memandangkan kebanyakan rakan sebayanya sudah berkeluarga.

“Selepas sebulan bernikah, suami ada bertanya mengenai perkara itu, namun ketika itu, belum ada rezeki. Memasuki bulan kedua perkahwinan, saya banyak berdoa dengan permintaan yang lebih khusus, selain terus berusaha.

“Alhamdulillah, permintaan kami dimakbulkan Allah dalam masa yang singkat. Berita gembira ini menjadi kenangan manis dalam hidup kami berdua,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama, Natasha dan Teratai Kemboja itu juga terharu apabila perkongsiannya itu menerima reaksi positif peminat, malah mereka turut bertanya pelbagai tips untuk mendapatkan cahaya mata dan kekal bahagia.

“Jawapan saya adalah doa. Kita kena percaya kepada keajaiban doa. Kepada pasangan yang sudah lama berumah tangga, namun masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata, banyakkan berdoa dengan permintaan yang lebih khusus.

“Allah Maha Mendengar dan merayulah kepada-Nya. Kita juga kena selalu ingatkan diri, semua yang dalam dunia ini hanya pinjaman.

“Allah yang memberi dan berhak mengambilnya semula pada bila-bila masa. Kita hanya perlu terus berdoa semoga apa yang dipinjamkan itu berkekalan selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Berita Harian X