Khamis, 23 Mei 2019 | 9:00am
WANY mengakui, pernah melukakan hati ibu gara-gara mengejar perkara yang belum pasti menjanjikan kebaikan. Foto NSTP
WANY mengakui, pernah melukakan hati ibu gara-gara mengejar perkara yang belum pasti menjanjikan kebaikan. Foto NSTP

'Ibu, saya janji tak buat lagi'

KUALA LUMPUR: Tidak semua perjalanan yang dilalui insan seni indah dan ada ketika, godaan yang datang membuatkan seseorang tersasar dari laluan sebenar.

Pengalaman sama turut dilalui penyanyi, Wany Hasrita apabila mengakui, dirinya pernah tergelincir daripada landasan ketika namanya meniti di kemuncak.

Tanpa berselindung, Wany berkata, dia pernah melukakan hati ibunya kerana terlalu mengikut darah muda.

“Saya pernah mengetepikan keluarga gara-gara mengejar perkara yang belum pasti membawa kebaikan. Saya sanggup lukakan hati ibu dengan mengingkari nasihatnya.

“Mujur saya cepat sedar perbuatan itu salah. Doa ibu yang tidak pernah putus membuatkan saya tersedar, apa yang saya kejar itu tidak menjamin kebahagiaan. Saya segera memohon maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, pengalaman itu memberinya pengajaran hingga ada yang menganggap, lagu terbarunya, Terlalu Memuja dikatakan dihasilkan berdasarkan kisah hidupnya.

Mengulas lanjut, gadis berusia 27 tahun itu agak keberatan untuk menceritakan perkara yang membuatkan hati ibunya terluka.

“Saya juga manusia biasa yang tidak pernah terlepas daripada membuat kesilapan. Perkara itu tidak semestinya berkaitan dengan cinta. Mungkin juga dari segi kerjaya,” katanya cuba berahsia.

Walaupun enggan menjelaskan cerita di sebalik lagu itu, Wany menyifatkan, video muzik lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya sudah cukup memberi bayangan peristiwa yang dilaluinya.

“Sepatutnya rakaman video muzik itu dilakukan di Santorini, Greece. Namun, timbul masalah yang membuatkan hasrat itu tidak terlaksana.

“Saya tidak mahu mendedahkan apa sebenarnya terjadi, tetapi insiden itu membuatkan saya serik dan berhati-hati dengan sebarang tawaran yang datang.

“Kebetulan, pihak label didatangi sebuah agensi pelancongan lain yang sudi membawa kami ke Korea Selatan bagi menjalani penggambaran video muzik di sana. Selepas memastikan semuanya lengkap dan teratur, baru saya berani menyatakan persetujuan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X