Khamis, 23 Mei 2019 | 1:00pm
KUTIPAN balik modal filem pertama arahannya tidak mematahkan semangat Mawi untuk terus menggarap produksi baharu. Foto Aziah Azmee

Tiada Tajuk balik modal

KUALA LUMPUR: Tetap berbangga walaupun kutipan filem sulung arahannya, Tiada Tajuk setakat ‘balik modal’, Mawi mengakui, dia semakin bersemangat untuk menghasilkan produksi kedua, tahun depan.

Katanya, dia tidak melihat jumlah kutipan yang diraih Tiada Tajuk sebagai gagal kerana pulangan itu sebenarnya, menepati sasaran awal.

“Sebagai orang baharu dalam dunia pengarahan filem dan tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal untuk menduduki kerusi sutradara, saya terharu dengan sambutan yang diberikan terhadap Tiada Tajuk.

“Sampai hari ini, masih ramai yang memberikan maklum balas positif, sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk merealisasikan filem seterusnya.

“Sejak awal lagi, saya memang tidak meletak harapan terlalu tinggi disebabkan ia filem garapan sulung. Bagi saya, memadai kalau dapat pulang modal. Alhamdulillah, kutipan filem itu menepati sasaran,” kata pemilik nama penuh, Asmawi Ani, 37, itu.

Berdasarkan Carta Kutipan Filem Cereka 2019 di laman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Tiada Tajuk yang ditayangkan pada April lalu hanya meraih pungutan RM503,600 untuk keseluruhan tayangan.

Filem komedi Islamik lakonan Hazama, Along Cham, Joey Daud dan Amira Othman itu berkisar kehidupan tiga rakan sekampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi rock.

Penyanyi lagu Kalah Dalam Menang itu bagaimanapun, menaruh keyakinan filem itu akan mendapat sambutan apabila disiarkan menerusi saluran Astro First pada musim Syawal nanti.

Berita Harian X