Jumaat, 24 Mei 2019 | 10:08pm
PELAKON, Hairul Azreen, bersama anak perempuannya, Alisa Aisyah, yang dilahirkan petang tadi. - Foto Instagram Hairul Azreen
HANIS Zalikha bersama Hairul Azreen dan anak lelaki mereka, Yusof Iskandar, ketika menghadiri sebuah acara di ibu kota, Mei tahun lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hairul, Hanis timang anak kedua

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hanis Zalikha, 28, selamat melahirkan cahaya mata kedua di sebuah pusat perubatan di sini, jam 5.59 petang tadi.

Berita gembira itu diumumkan oleh suaminya, aktor, Hairul Azreen, 31, di Instagram miliknya, kira-kira dua jam lalu.

Bintang filem Paskal itu juga meluahkan kesyukuran kerana isteri dan puterinya berada dalam keadaan sihat.

"Assalamualaikum, saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin berkongsi berita gembira.

"Pada bulan Ramadan ini isteri saya, Hanis, selamat melahirkan cahaya mata perempuan kami, Alisa Aisyah Binti Hairul Azreen, petang tadi (jam) 5.59 petang," tulisnya.

Dalam perkongsian yang turut disertakan dengan gambar dirinya bersama si kecil, Hairul juga memberitahu kedua-dua anaknya dilahirkan pada hari Jumaat.

Perkongsian berkenaan dengan pantas mendapat perhatian peminat dan teman artis yang rata-rata memberikan ucapan tahniah selain mendoakan kebahagiaan keluarga itu.

Sementara itu, pasangan selebriti terbabit turut mewujudkan akaun rasmi Instagram puteri mereka, iaitu @thealisaaisyah.

Hairul dan Hanis mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2015. Pasangan itu turut dikurniakan cahaya mata lelaki, Yusuf Iskandar, yang kini berusia tiga tahun.

Berita Harian X