Sabtu, 25 Mei 2019 | 11:30am
PENYANYI dan komposer, Haqiem Rusli, ketika hadir pada sidang media Kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad di Petaling Jaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Haqiem luah suka, duka menerusi lagu

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Haqiem Rusli, mengakui meluahkan segala rasa yang tersimpan di dada menerusi lagu ciptaannya.

Katanya, melalui cara itu dia berpeluang berkongsi detik yang dilalui, sama ada suka mahupun duka, bersama peminat muzik.

“Sebelum ini, saya selalu mendengar orang berkata mereka yang menghasilkan lagu adalah insan puitis. Malah, ramai juga dalam kalangan komposer yang bersetuju dengan pandangan itu.

“Seseorang pencipta lagu akan menggarap sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan dan pengalaman mereka sendiri, selain rasa yang dialami ketika itu.

“Saya sendiri tidak terkecuali. Ilham untuk menghasilkan sesebuah dendangan datang tanpa diduga dan ada waktunya ia tiba sewaktu saya sedang gembira. Ada ketikanya pula saya mendapat ilham ketika berduka.

“Begitupun, lagu berkenaan bukan hanya dinyanyikan oleh saya sendiri, malah sebahagiannya turut dirakam artis lain. Sebahagiannya pula masih ada dalam simpanan saya,” katanya.

Antara lagu ciptaan anak muda berusia 21 tahun itu termasuk Pesan nyanyian Irfan Haris, Tersiksa (Putera Band), Aku Sendiri (Sufi Rashid), Aku Yang Bersalah (Usop), Kenangan (Zack Zakwan) dan Ibu (Tajul).

Penyanyi yang popular dengan lagu Jatuh Bangun dan Selamat Tinggal Sayang itu turut mendedahkan, dia langsung tidak menghasilkan karya sepanjang berdepan kontroversi, tahun lalu.

Berita Harian X