Ahad, 26 Mei 2019 | 3:53pm
ELVINA enggan lagi meletak sepenuh kepercayaan terhadap suami selepas berdepan kemelut rumah tangga. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Peringatan supaya tak ganggu kebahagiaan wanita lain

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Elvina Mohamad berkata, dia hanya ingin memberi peringatan kepada wanita supaya tidak mengganggu kebahagiaan insan lain apabila berkongsi kemelut rumah tangganya di laman sosial, sedikit masa lalu.

Akur ada segelintir yang mempertikai keputusannya itu, Elvina, 24, berkata, perkongsian itu secara tidak langsung memberitahu umum, kehidupan sebagai selebriti juga tidak terlepas daripada ujian dan dugaan.

“Saya lihat, kebanyakan selebriti hanya berkongsi perkara yang baik dan indah, tetapi apabila sesuatu yang buruk berlaku, mereka sengaja pejamkan mata dan buat tidak nampak.

“Warganet mungkin beranggapan, sebagai artis kami perlu sentiasa ceria dan gembira. Mereka tidak tahu kehidupan kami di sebaliknya.

“Saya bukan mahu mencari publisiti murahan dengan membuka aib rumah tangga, tetapi itu antara usaha saya menyelamatkan perkahwinan kami. Ia juga memberi peringatan kepada wanita di luar sana supaya tidak mengganggu keharmonian rumah tangga orang lain,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama Mariam Alisa dan Jojie Gigil itu bersyukur, kejadian itu menyimpan hikmah yang secara tidak langsung mematangkan dirinya dan suami, Datuk Mohd Haniff Borhan.

“Ia mengajar saya supaya tidak mudah melatah, malah hubungan dengan suami juga semakin pulih dan erat. Kami juga mula belajar memahami antara satu sama lain.

“Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Lagipun, ia kesilapan pertama suami sepanjang perkahwinan kami. Mengapa tidak saya maafkan?

“Tetapi, jika berlaku lagi nanti, ia sudah menjadi pilihan. Jika suami buat hal lagi, saya tidak tahu sama ada masih boleh memaafkan atau tidak,” katanya.

Meskipun sudah melupakan dan memaafkan apa yang berlaku, Elvina berkata, dia tidak lagi meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suaminya.

“Saya lebih berhati-hati dengan perasaan. Mungkin dulu, saya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya, tetapi kini saya hanya berikan 80 peratus. Selebihnya saya simpan untuk diri sendiri,” katanya.

Akhir tahun lalu, pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf itu mengejutkan ramai apabila menyelar seorang wanita yang juga ejen insurans yang dikatakan cuba menggoda suaminya.

Insiden itu berlalu ketika Elvina atau nama sebenarnya, Norazlina Mohamad sedang berpantang anak sulung, Karl Mateen, pada 1 Disember lalu.

Sementara itu, selepas hampir setahun berehat, Elvina berkata, dia sudah mula menerima tawaran berlakon dan sebagai permulaan, hanya bersedia menjalani penggambaran telefilem.

“Anak saya masih kecil, baru berusia lima bulan. Saya tidak sanggup berpisah lama dengannya. Insya-Allah, saya akan kembali berlakon drama bersiri selepas Aidilfitri ini.

“Jujurnya, saya amat merindui dunia lakonan. Terubat juga rindu apabila baru-baru ini, dapat kembali ke lokasi penggambaran untuk telefiem, Aku Bukan Syurgamu siaran RTM,” katanya.

Berita Harian X