Isnin, 27 Mei 2019 | 1:11pm
SEDEKAD dalam industri hiburan, Nazim berbangga apabila mula diberi kepercayaan membawa watak mencabar. - Foto Hafiz Sohaimi

Nazim rela dikecam bawa watak mak nyah

KUALA LUMPUR: Hampir sedekad bertapak dalam industri hiburan, pelakon dan penyanyi, Nazim Othman bersyukur, 2019 memberikan dimensi baharu dalam kerjaya seninya.

Nazim atau nama lengkapnya, Nushrul Alif Othman berkata, dia gembira apabila tidak lagi diberikan watak klise, sebaliknya berpeluang mencuba pelbagai karakter yang menguji kemampuan.

Selepas diberi kepercayaan melakonkan watak sebagai penghidap disleksia dan anak kampung, Nazim berkata, dia teruja mencabar diri dengan menjadi mak nyah.

“Sejak 10 tahun lalu, saya sering diberikan watak hampir sama sebagai anak orang kaya. Bukan mahu tolak rezeki, tetapi sebagai pelakon, saya juga perlukan anjakan dalam kerjaya.

“Sejak awal tahun ini, saya berazam untuk keluar dari kepompong keselesaan dan mencuba sesuatu yang baharu. Alhamdulillah, doa saya terjawab apabila diserahkan watak sebagai penghidap disleksia dalam telefilem Silang dan orang kampung menerusi drama Lara Syakila.

“Jika tiada halangan, saya akan melakonkan watak mak nyah pula dalam produksi arahan seorang pengarah terkenal. Pengarah itu sudah lama memaklumkan mengenai projek itu dan jika rezeki berpihak, sudah tentu saya mahu mencari kelainan dengan mencuba watak berbeza,” katanya.

PELAKON dan penyanyi, Nazim Othman. - Foto ihsan Instagram Nazim Othman

Nazim berkata, dia juga tidak takut dengan pandangan dan stigma masyarakat yang mungkin akan mengecam keberaniannya membawakan watak itu.

“Saya tahu ramai pelakon takut bawa watak sebegini. Sebagai pelakon, perasaan itu perlu ditolak ke tepi kerana tugas kita adalah menghidupkan watak.

“Saya mahu menjadi pelakon serba boleh, sekali gus berharap penonton dapat melihat Nazim yang tidak lagi terikat dengan karakter stereotaip,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan 1 Syawal, Nazim yang sudah dua tahun meraikannya sebagai duda berkata, dia sudah terbiasa melalui situasi itu.

“Saya agak sibuk sepanjang Ramadan ini dan kebanyakan masa dihabiskan di lokasi penggambaran. Jadi, kesunyian itu tidak terasa apabila dapat berbuka beramai-ramai.

“Saya juga tiada masalah sekiranya terpaksa berbuka sendirian di rumah. Sesekali, saya akan penuhi undangan teman baik untuk berbuka bersama-sama. Begitu juga hari raya nanti, tiada apa yang berbeza walaupun saya sendirian,” katanya.

Nazim pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Daly pada 10 September 2016, tetapi mengambil keputusan untuk berpisah pada 2 Mei tahun lalu.

Berita Harian X