Selasa, 28 Mei 2019 | 6:00pm
PELAKON dan pengacara, Neelofa, pada majlis berbuka puasa dan pengumuman kerjasamanya bersama Chatime di Royale Chulan Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Doa terbaik Neelofa buat kakak, anak saudara

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Noor Neelofa, menegaskan tidak mengetahui keseluruhan cerita membabitkan rumah tangga kakaknya, Noor Nabila dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad.

Justeru, kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 itu, tidak adil untuknya memberikan ulasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Apa yang terbaik untuk dia (Nabila), saya tumpang gembira bagi pihaknya. Tetapi saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana tidak tahu keseluruhan cerita.

“Apapun, saya mengharapkan yang terbaik untuk Nabila dan anak saudara saya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai hubungan Noor Nabila dengan Sharnaaz yang dikatakan kembali jernih sejak anak mereka, Jebat Jayden Ahmad, dimasukkan ke hospital kerana jangkitan saluran kencing (UTI).

Khamis lalu, Sharnaaz berkongsi, Jebat selamat menjalani pembedahan dan meluahkan perasaan syukur serta berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan anak lelakinya yang berusia lapan bulan itu.

Sebelum ini, pasangan selebriti itu tidak menghebahkan perkara berkenaan kerana akur, ramai lagi anak kecil yang mengalami masalah kesihatan lebih serius.

“Setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya. Nabila sangat kuat dan sabar berdepan dengan ujian ini, apatah lagi Jebat masih kecil.

“Perniagaan kini diuruskan oleh saya kerana ingin memberikan ruang kepada Nabila untuk fokus kepada anak dan keluarga,” katanya ketika ditemui sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa dan pengumuman kerjasama dirinya bersama Chatime, baru-baru ini.

NEELOFA bersama anak saudaranya, Jebat Jayden Ahmad. - Foto Instagram Neelofa

Ketika Jebat mula-mula tidak sihat, kata Neelofa, 30, mereka sekeluarga sedih melihat dirinya yang masih kecil namun terpaksa keluar masuk hospital hampir lapan kali.

“Malah, kakak saya seperti sudah berumahtangga di hospital kerana kebanyakan masa dihabiskan di sana. Kami juga jarang berjumpa kerana saya turut terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Jebat sendiri seakan-akan trauma apabila melihat jururawat dan selimut hospital. Saya memohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak saudara saya,” katanya.

Sementara itu, menerusi perkongsian terbaru di Instagramnya, Sharnaaz mengajak orang ramai sama-sama menunaikan solat hajat untuk anak lelakinya di Masjid As Syakirin KLCC, selepas tarawih malam ini.

Berita Harian X