Khamis, 30 Mei 2019 | 12:00pm
PELAKON Erma Fatima yang popular dengan panggilan Mak Cun. NSTP/Iqmal Haqim Rosman
PELAKON Erma Fatima yang popular dengan panggilan Mak Cun. NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Karakter Mak Cun alih jiwa Erma Fatima ke bidang usahawan

KUALA LUMPUR: Sebelum ini umum mengenali figura bernama Erma Fatima sebagai dramatis terkenal tanah air melalui drama dan filem lakonannya, hingga melayakkan beliau bergelar artis paling popular sekitar dekad 90-an.

Melangkah ke alaf 2000 Erma mula berkecimpung dalam bidang pengarahan drama Melayu yang mengisi slot tayangan di kaca televisyen dan antara yang paling meninggalkan kesan adalah Mak Cun. Ia kisah seorang wanita kampung yang gigih berusaha mencapai cita-cita sebagai seorang usahawan berjaya.

Bertitik-tolak daripada karakter Mak Cun yang dihasilkan itu, Erma kini mengorak langkah ke bidang keusahawanan dengan membuka cabang perniagaan, memasarkan produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti makanan dan barangan kraftangan, dan yang terbaru Rumah Budaya ‘Culture House’ di Menara Kuala Lumpur.

“Kini saya sudah jauh sikit dari dunia seni... Sebelum ini pun saya pernah umum saya sudah tak mahu bertanding dalam Anugerah Skrin atau terbabit dalam bidang pengarahan. Sekarang jiwa saya lebih kepada nak bantu usahawan kita.

“Semangat ini lahir dari drama Mak Cun. Dari situ saya kenal peritnya nak jadi usahawan, nak cari duit... Kini saya lebih seronok masuk ke kampung, beli produk mereka dan tolong jualkan, ia satu nikmat yang luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Rumah Budaya oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah, baru-baru ini.

Pembukaan Rumah Budaya di Menara Kuala Lumpur itu menjadi satu lagi platform untuk beliau memasarkan produk PKS, selain kedai yang dibuka di Menara Alor Star, Kedah.

Katanya, Rumah Budaya itu juga menyediakan pakej menyediakan perkhidmatan menyewa lebih 100 helai kostum tradisional, melakukan aktiviti kebudayaan dan bermacam lagi khusus untuk pelancong luar yang datang ke Menara itu.

“Ia akan menjadi pusat sehenti di mana pelancong boleh mendapatkan khidmat sewaan pakaian tradisional, di samping mendapatkan barangan keluaran usahawan kita yang ditempatkan di rumah itu.

“Saya pasti ia akan menjadi tumpuan, kerana difahamkan kita menerima kedatangan kira-kira 3,000 pelancong ke Menara ini setiap hari. Insya-Allah, kita akan buka beberapa lagi kedai seumpama ini di kawasan tumpuan pelancong lain, seperti di MATIC (Pusat Pelancongan Malaysia), Pasar Seni dan Taman Warisan di Putrajaya,” katanya.

Sebelum ini, Erma turut melancarkan Mak Cun Mart di Ukay Perdana, yang mempunyai lebih 20 produk termasuk makanan, kecantikan dan fesyen hasil kolaborasinya bersama usahawan IKS.

Mak Cun Mart turut dibuka secara dalam talian menerusi www.makcunmart.com.my untuk pembelian atas talian.

Sempena bulan Ramadan ini dan kedatangan Aidilfitri, tidak lama lagi, Mak Cun Mart turut memasarkan pelbagai jenis busana tradisional seperti baju kurung, baju kurung kedah, kebaya, kebarung dan jubah pada harga yang berpatutan.

Dalam pada itu, katanya, Rumah Budaya itu diwujudkan atas dasar tanggungjawabnya sebagai anak seni, untuk terus memelihara seni budaya Melayu dan adat resam, daripada terus ditelan zaman kerana melihat kepada generasi muda kini yang kurang mendapat pendedahan mengenainya.

“Kalau kita ke Korea atau Jepun, kita nak cuba pakaian tradisional mereka dan kita rasa seronok. Saya lihat ‘trend’ anak muda sekarang, nak masuk kelas ballet, kelas taekwondo, tetapi budaya kita di mana?

“Jadi, kalau bukan kita yang jaga budaya kita sendiri, ia akan jauh dari kita, saya khuatir. Saya rasa sebagai orang yang berada dalam industri seni ini, tanggungjawab saya untuk memartabatkan budaya saya di mata orang luar, khususnya,” katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X