Sabtu, 1 Jun 2019 | 2:00pm
PELAKON, Fadzil Zahari, terasa dengan ketiadaan abangnya, Datuk Farid Kamil, yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC). - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Fadzil sayu beraya tanpa abang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fadzil Zahari, mengaku tidak mudah untuknya menerima kenyataan terpaksa ‘berjauhan’ seketika dengan abang, Datuk Farid Kamil, terutama ketika umat Islam sibuk melakukan persiapan menyambut 1 Syawal.

Katanya, ketiadaan Farid yang menjalani hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) begitu dirasai.

“Memang terasa ‘kehilangannya’, malah ibu paling terkesan dengan apa yang berlaku. Sebelum ini, setiap kali Ramadan, kami tidak pernah lepaskan peluang untuk berbuka puasa bersama-sama.

“Jika tidak dengan seisi keluarga, kami akan berbuka berdua. Apabila hari raya semakin dekat, dia biasanya paling kecoh. Mungkin kerana dia anak sulung, lagaknya seperti ketua. Ada sahaja yang diarahkannya untuk memastikan segala persiapan lengkap.

“Mengenangkan semua itu, perasaan saya bercampur-baur. Terasa sangat apabila dia tidak dapat bersama pada pagi Syawal nanti,” katanya kepada BH Online.

Meskipun berat, Fadzil yang juga suami kepada pelakon dan pengacara, Yana Samsudin, berkata dia dan keluarganya akur menerima ujian berkenaan.

“Mahu atau tidak, kami perlu kuat menempuhi dugaan ini. Alhamdulillah, isteri memahami keadaan kami dan turut berkorban membantu keluarga membuat persiapan yang perlu,” katanya.

Fadzil juga berkata, ketiadaan Farid turut membuatkan segala tanggungjawab tergalas di bahunya. Malah katanya, dia juga menjadi sumber rujukan adik-beradik dan saudara-mara yang ingin mengetahui perkembangan terkini abangnya.

“Tidak banyak yang dapat saya ulas mengenai hukuman yang dijalani abang. Saya meminta maaf kerana sebelum ini, tidak dapat menjawab pertanyaan wartawan.

“Ketika itu, kami masih terkejut. Pada 17 Mei lalu, peguamnya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, selain memohon supaya hukuman terhadap Farid ditangguhkan sehingga rayuan kes itu selesai.

“Memang saya dan keluarga berharap sangat dia dapat bersama kami untuk beraya bersama. Apabila dia tiada, saya memikul segala tanggungjawab untuk menguruskan hal keluarga,” katanya.

Fadzil yang juga pemilik syarikat pengurusan artis, Prokuya Studios berkata, dia dan keluarga tidak pernah putus berdoa mengharapkan keajaiban akan berlaku.


PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, ketika menghadiri prosiding permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan ke atasnya, Mei lalu, di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir

“Hanya doa yang menjadi senjata dan kekuatan ketika kami berdepan dugaan ini. Alhamdulillah, hubungan sesama anggota keluarga juga bertambah erat apabila kami saling memberikan kata semangat antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai persiapan raya, Fadzil yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran bersama Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), baru-baru ini, memaklumkan dia serta isteri selesa bersederhana.

“Sebelum ini, isteri begitu beriya-iya menyediakan pelbagai persalinan untuk menyambut ketibaan 1 Syawal. Tetapi, tahun ini, kami belum menyediakan apa-apa untuk diri sendiri. Kami sebaliknya lebih memberikan fokus kepada anak, Aisy Mateen.

“Mungkin beberapa hari sebelum raya, baru saya dan isteri akan mencari persalinan sedondon untuk digayakan pada pagi raya nanti,” katanya.

Berita Harian X