Isnin, 3 Jun 2019 | 11:00am
Ernie bercadang berkunjung ke rumah Syamel pada hari raya ini. Foto NSTP Nurul Shafina Jemenon

Ernie mahu beraya di rumah Syamel

KUALA LUMPUR: Syawal ini diraikan penyanyi bersuara hebat, Ernie Zakri dengan penuh syukur apabila dilimpahi pelbagai rezeki sejak gandingannya bersama Syamel menjadi sebutan.

Ernie, 27, berkata rutin harian dia dan Syamel sepanjang Ramadan begitu padat apabila bekerjasama dengan pereka, Sara J menghasilkan koleksi pakaian raya.

“Boleh dikatakan, hampir setiap hari, kami ada program yang perlu dihadiri, selain menyertai pelbagai festival dan bazar raya.

“Dalam menguruskan perniagaan, kami juga muncul dengan single raya. Alhamdulillah, aktiviti seni dan bisnes berjalan seiring,” katanya.

Justeru, pemilik nama lengkap, Ernie Shahirah Zakri itu berkata, kedatangan Syawal begitu dinanti untuk memohon ampun dan mengunjungi sanak saudara bagi mengeratkan lagi silaturahim.

Penyanyi Ku Bersuara itu berkata, sudah menjadi rutin, sebagai anak kota untuk mengunjungi sahabat handai yang turut menyambut Syawal di ibu negara.

“Saya memang suka beraya di rumah kawan-kawan. Tahun lalu, saya beraya di rumah Hael Husaini dan Ara Johari. Saya juga pernah bertandang ke rumah Syamel.

“Insya-Allah, tahun ini, jika ada kelapangan, pasti saya akan datang beraya lagi ke rumahnya. Saya juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan peminat pada musim raya nanti,” cerita Ernie.

Syawal ini, akui Ernie, turut memberi makna apabila dia dan Syamel kembali digandingkan untuk merakamkan lagu raya ciptaan komposer legenda, S Atan menerusi Seru Hari Lebaran.

Selain lagu raya, pasangan itu juga muncul dengan lagu duet, Takkan Terlerai yang dihasilkan sebagai runut bunyi filem Jebat.

Sebagai penyanyi generasi baharu, Ernie menyifatkan, kerjasama dengan komposer hebat itu ibarat bulan jatuh ke riba.

“Apabila mendapat tahu kami akan merakamkan lagu ciptaan S Atan, perasaan saya bercampur baur. Rasa teruja kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan komposer legenda, pada masa sama, takut kerana saya dimaklumkan, dia garang ketika di studio.

“Jika penyanyi terbaik seperti Datuk Jamal Abdillah pun dia boleh marah, apatah lagi, kami yang masih muda. Sepanjang proses rakaman, saya banyak belajar daripada cara dia bekerja.

“Kami hanya diberikan demo muzik dan apabila berada di studio rakaman, baru melodi lagu diberikan. Lirik juga diubah pada masa itu, mengikut kesesuaian melodi,” katanya.

Berita Harian X