Isnin, 3 Jun 2019 | 3:00pm
ROY mendakwa dirinya sering dipinggirkan dalam setiap aktiviti anjuran persatuan artis. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kenapa saya disisihkan? - Roy

SERI KEMBANGAN: Penyanyi lagu patriotik popular, Roy terkilan dengan sikap persatuan artis yang didakwanya, mengamalkan pilih kasih apabila sering meminggirkan anak seni sepertinya.

Menurut Roy atau nama lengkapnya, Mohammed Rauzan Alwi, 55, perkara itu pernah disuarakannya selepas berasakan dia seperti disisihkan dalam pelbagai aktiviti, walaupun sudah lama menjadi ahli persatuan itu.

“Terasa juga hati apabila saya langsung tidak mendapat sebarang undangan dalam setiap aktiviti yang mereka jalankan. Sebagai ahli, tertanya-tanya juga mengapa saya disisihkan?

“Saya tahu, saya bukan artis popular dan mungkin itu menyebabkan saya tidak layak menyertai setiap acara anjuran mereka,” katanya.

Mengakui sudah terbiasa dengan situasi itu, penyanyi lagu Kau Ratnaku itu berkata, dia sudah tidak lagi ambil peduli dan lebih selesa menjaga kebajikan sendiri.

“Kalau sekali dua, mungkin mereka terlepas pandang, tetapi banyak aktiviti yang mereka anjurkan, saya tidak dimaklumkan. Jika ada jemputan dan tidak sibuk, saya pasti penuhi jemputan itu.

“Ini langsung tiada. Apabila keadaan ini berlaku, biarlah saya bawa diri. Daripada sibuk menjaga hati orang yang tidak hargai kita, lebih baik saya tumpukan perhatian dengan menyanyi di jalanan untuk mencari rezeki.

“Kalau mereka tidak hiraukan saya, buat apa saya mahu ambil peduli lagi?,” katanya yang ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak tahfiz Pondok Jamiul Uluum anjuran Zura Charity, baru-baru ini.

Berita Harian X