Selasa, 4 Jun 2019 | 11:00am
Remy atur strategi jika ada tetamu yang berkunjung ke rumah untuk beraya, bertanyakan dirinya soal jodoh. Foto NSTP Aswadi Alias

Taktik Remy jawab soalan mengenai jodoh

PUTRAJAYA: Pelakon, Remy Ishak, sudah mempersiapkan diri berhadapan pertanyaan terutama mengenai jodoh sepanjang pulang beraya di kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka.

Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda itu memberitahu, dia mempunyai taktik tersendiri untuk menepis pertanyaan itu.

“Hulurkan sahaja duit raya, tentu mulut yang bertanya itu akan diam. Saya akur, masih lagi solo menyambut raya tahun ini, tetapi apakan daya, rezeki untuk bertemu jodoh belum sampai.

“Emak juga ada bercakap mengenai perkara ini, maklum dia semakin berusia dan bimbang tidak dapat menguruskan majlis perkahwinan saya nanti. Insya-Allah, kalau ada, pasti saya akan bertemu jodoh.

“Ramai juga saudara mara yang mahu mencarikan saya jodoh, tetapi ini soal hati dan masa hadapan saya. Tak bolehlah ambil mudah sahaja,” katanya.

Tambah Remy, sebagai pelakon, bukan senang untuk mencari pasangan yang memahami kerjayanya, namun dia menafikan dirinya cerewet dalam memilih teman hidup.

“Saya tidak cerewet, cuma mungkin orang tidak faham dengan cara hidup saya. Tidak dinafikan, agak susah sebenarnya mencari wanita yang betul-betul faham kerjaya sebagai pelakon, tambahan pula saya sibuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

“Masa saya sangat terbatas, jadi bakal pasangan saya harus memahami jiwa perjalanan hidup saya. Berkahwin dengan pelakon memang banyak cabarannya, itu juga menjadi antara faktor mengapa hubungan sebelum ini kandas di pertengahan jalan.

“Mungkin ada wanita berasa tidak selamat kerana saya Remy Ishak. Apakah saya perlu memperlahankan kerjaya seni, baru saya akan bertemu jodoh?,” tanya Remy.

Remy bagaimanapun, memaklumkan dia belum bersedia untuk memperlahankan kerjaya lakonannya kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila terlalu memilih hingga menyebabkan namanya tenggelam.

Berita Harian X