Rabu, 5 Jun 2019 | 1:00pm
Fazura menyambut Aidilfitri di kampung Fattah di Bagan Datuk, Perak. Foto IG Nur Fazura
Fazura menyambut Aidilfitri di kampung Fattah di Bagan Datuk, Perak. Foto IG Nur Fazura

Fazura, Fattah beraya di Bagan Datuk

KUALA LUMPUR: Kemanisan menyambut Syawal semakin dirasakan, lebih-lebih lagi jika diraikan bersama insan tercinta.

Walaupun pernah melalui situasi itu, tahun lalu, apabila kali pertama menyambut ketibaan Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri, namun bagi Nur Fazura dan Fattah Amin, keterujaan merayakan lebaran tahun ini semakin bertambah.

Seperti pasangan lain yang sudah berumah tangga, sistem giliran tetap diamalkan dua pelakon terkenal ini. Menurut Fazura, mereka sudah memutuskan untuk menyambut 1 Syawal di kampung suaminya di Bagan Datuk, Perak.

“Tahun lalu, pada hari raya pertama, kami beraya di kampung saya di Pekan, Pahang. Jadi, tahun ini giliran saya untuk beraya di kampung suami di Perak pula. Bagaimanapun kami akan pulang ke kampung saya lebih awal kerana mahu beraya dengan emak, selain menziarah kubur arwah ayah dan saudara mara lain.

“Walaupun tahun ini bukan kali pertama kami beraya sebagai suami isteri, bagi saya ia tetap sesuatu yang istimewa buat kami berdua. Justeru, pada Syawal kali ini, saya mahu menikmati sepenuhnya kasih sayang suami. Manalah tahu tahun depan kami beraya bertiga pula?” katanya kepada BH Online.

Ketika masih bujang, soalan wajib yang bakal ditanya adalah bila lagi mahu berumahtangga? Apabila sudah berkahwin, soalan berkenaan anak pula yang ditanya.

Menurut pelakon filem J Revolusi itu, soalan berkenaan bukanlah sesuatu yang asing buat mereka kerana pada bila-bila masa sahaja, pertanyaan mengenai cahaya mata pasti akan menjelma.

“Kami sudah biasa dengan soalan itu (anak). Bukan setakat musim perayaan, malah baru-baru ini ketika hadir ke sesi mempromosikan jenama pakaian kami berdua, ramai yang pegang perut saya sambil mendoakan semoga saya segera hamil.

“Orang kita memang suka bertanya dan apabila diajukan dengan soalan begitu, jawapan kami tetap sama, iaitu semoga diizinkan Allah. Kami juga meminta mereka sama-sama mendoakannya,” katanya yang cukup sibuk dengan urusan perniagaan sepanjang Ramadan ini.

Seperti wanita lain yang bergelar isteri, dia juga akan sibuk di dapur untuk menyediakan menu raya dan juadah kegemaran si suami.

“Pada malam raya, saya akan membantu ibu memasak. Saya juga ada tradisi sendiri, iaitu membakar lemang bersama suami.

“Cadangannya, tahun ini teringin juga nak buat kuih sendiri, namun hasrat itu terpaksa dilupakan disebabkan kesuntukan masa,” cerita pemenang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 ini.

Mengimbau kembali detik manis Aidilfitri yang sehingga kini masih basah dalam ingatan mereka, Fattah berkata, lebaran tahun lalu akan tetap dikenang sampai bila-bila.

“Itulah kali pertama saya beraya dengan status suami dan juga menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentua. Tak dinafikan, waktu itu memang gementar sangat kerana situasi sangat berbeza berbanding ketika masih bujang.

“Bagaimanapun, semua itu adalah pengalaman manis yang akan tersimpan dalam ingatan sampai bila-bila,” kata pemenang Anugerah Bintang Paling Popular, ABPBH 3.0 ini.

Berkongsi pengalaman sama, Fazura berkata, saat bersalaman dengan suami adalah kenangan hari raya paling indah buatnya.

“Perasaan sewaktu nak bersalaman itu memang bercampur baur. Rasa sebak dan berdebar sama-sama bersarang dalam diri.

“Apabila hidup bersama, tidak dinafikan pasti ada salah silap yang dilakukan. Kadang-kadang, tanpa disedari perbuatan kita boleh menyinggung hati suami. Jadi, kenalah mohon ampun daripadanya,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Apa ini.

Mengenai aktiviti selepas hari raya, aktor tinggi lampai itu berkata, dia mahu berehat sambil membawa isteri tersayang dan keluarga bercuti.

“Sebelum puasa lagi, iaitu selama dua bulan, masa saya banyak dihabiskan di lokasi drama untuk siaran TV3. Tiba Ramadan, saya fokus dengan bisnes. Saya juga banyak menghadiri acara ramah mesra dengan pengunjung bazar dan festival raya yang kami sertai.

“Inilah kali pertama saya mengeluarkan jenama pakaian sendiri. Jadi, saya kenalah mempromosikannya. Seronok melayan keletah pelanggan yang bermacam ragam. Bukan sahaja melayan mereka, saya juga menjalankan tugas seperti seorang ‘promoter’. Siap sarungkan pakaian kepada mereka lagi.

“Walaupun penat, saya teruja dan alhamdulillah, sokongan yang diberikan terhadap produk kami suami isteri sangat memberangsangkan. Justeru, selepas hari raya ini saya mahu berehat dan nak bawa isteri serta keluarga pergi bercuti. Hanya selepas itu barulah saya tumpukan kepada aktiviti seni yang sudah dirancang,” terang pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini.

Bagi Fazura pula, selepas sahaja meraikan lebaran, tumpuannya lebih kepada mencari idea untuk menghasilkan koleksi terkini sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019.

“Projek saya selepas raya adalah mencari idea untuk rekaan fesyen sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019. Dalam soal lakonan pula, saya mahu berehat dahulu sehinggalah menerima skrip yang menarik dan tidak kelihatan sama dengan naskhah yang sering kita tonton di kaca TV, hari ini.

“Jujurnya, saya jemu dengan cerita yang sering menonjolkan kelemahan golongan wanita. Sudah tiba masanya untuk kita menghasilkan filem yang memaparkan tema memperkasakan wanita.

“Saya percaya akan ada pengarah tempatan yang tampil dengan filem sebegitu dan saya pula sanggup tunggu detik itu,” ungkap Fazura optimis.

Berita Harian X