Khamis, 6 Jun 2019 | 11:30am
SELAIN meraikan Syawal di rumah baharu, Nora juga teruja membawa anak keduanya menziarahi keluarga sempena hari raya. Foto Nurul Shafina Jemenon
SELAIN meraikan Syawal di rumah baharu, Nora juga teruja membawa anak keduanya menziarahi keluarga sempena hari raya. Foto Nurul Shafina Jemenon

Nora seronok hias rumah baharu sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish mengakui, kedatangan 1 Syawal begitu dinanti apabila buat kali pertama ia diraikan di kediaman baharunya.

Merendah diri, Nora yang berpindah sejak Mac lalu berkata, tiada apa yang istimewa untuk dikongsi mengenai kediaman baharunya itu, memandangkan masih banyak kerja menghias perlu dilakukan.

“Sambutan Aidilfitri kami tetap sama. Walaupun sudah pindah rumah baharu, kami tetap menyambut raya di rumah emak atau mentua. Lagipun, rumah kami belum dikemas sepenuhnya.

“Saya lebih suka mengemas rumah, berbanding memasak. Tugasan di dapur, biasanya suami yang akan kendalikan kerana dia memang jaguh menyediakan pelbagai sajian menyelerakan.

“Sebelum berkahwin, tugasan di dapur diambil kakak dan emak. Saya memang sejak dahulu diberi tanggungjawab untuk menata dan menghias rumah.

“Kebiasaannya, seminggu sebelum Syawal, saya akan mula membersihkan rumah. Bab mengemas memang saya paling cekap,” kongsi Nora.

Menambahkan lagi keterujaan pelakon yang popular menerusi drama Puteri itu, anak keduanya, Mohamed Neqayl Nedim, 15 bulan, sudah mula ‘dapat kaki’.

Nora berkata, keletah anaknya itu sentiasa menghiburkan hati, apatah lagi Neqayl yang dipanggil Ney Ney semakin panjang akal.

“Melihat dia semakin membesar, saya jadi tidak sabar mahu beraya. Tahun lalu, kami lebih banyak di rumah menanti kedatangan tetamu memandangkan Ney Ney masih kecil.

“Bimbang pula mahu membawanya berjalan-jalan. Tetapi, sekarang dia semakin lasak dan mula pandai memanjat. Nampak kesungguhannya untuk cuba berjalan, walaupun kerap jatuh.

“Melihat Ney Ney yang semakin aktif, saya jadi teruja untuk menziarahi saudara dan handai taulan pada musim raya nanti,” katanya mengenai permata hati hasil perkahwinan kedua dengan Nedim Nazri.

Menerusi perkahwinan pertama, Nora dikurniakan Putera Rayqal, 10. Nedim yang juga ahli perniagaan pernah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak lelaki, Mohamed Nedri, 8.

“Kami sudah menyediakan enam pasang baju baharu untuk Ney Ney. Begitu juga dua abangnya memandangkan musim perayaan, kanak-kanak paling gembira,” katanya.

Nora berkata, menjadi rutin setiap kali Syawal, dia menziarahi kediaman ibu dan keluarga mentuanya. Malah, kediaman keluarga bekas mentuanya turut dikunjungi, semalam.

“Selepas bersalam-salaman dengan keluarga, saya dan suami berhari raya di rumah mentua pula. Selepas itu, kami berkunjung ke kediaman bekas mentua, menyusuli Rayqal yang terlebih dahulu ke sana.

“Memang itu rutin saya sejak tiga tahun lalu. Meskipun sudah mempunyai keluarga baharu, hubungan kami tetap baik. Sikap bekas ibu mentua yang lemah lembut dan prihatin banyak mempengaruhi saya,” katanya.

Berita Harian X