Jumaat, 7 Jun 2019 | 3:00pm
AMAR tidak kekok menyediakan hidangan untuk isterinya yang sedang sarat hamil anak kedua. Foto Mahzir Mat Isa

Amar ganti isteri masuk dapur siapkan juadah raya

KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Asyraf yang bakal menimang anak kedua tidak kisah masuk dapur menyediakan juadah untuk tetamu yang berkunjung ke rumahnya sempena Aidilfitri.

Amar berkata, dia sanggup bertungkus-lumus di dapur dan menyediakan juadah kerana tidak mahu membebankan isterinya yang sedang sarat.

“Sejak isteri hamil anak kedua, saya ambil inisiatif membantunya memasak kerana dia sudah tidak larat ke dapur. Selalunya, saya hanya sediakan menu ringkas dan mudah, sekadar untuk mengalas perut.

“Selain menitikberatkan kesihatan, dapat juga saya memantau apa yang dinikmati isteri,” katanya yang bakal menimang cahaya mata kedua dalam masa terdekat.

Amar bersyukur, meskipun tidak terlalu handal, kebiasaannya juadah yang disediakan menepati selera isteri dan anak lelaki mereka.

Berkongsi sambutan raya, pelakon yang dikenali menerusi drama Setia Hujung Nyawa itu berkata, mereka sepakat meraikannya di ibu negara.

“Lazimnya, kami pulang beraya di kampung saya di Masjid Tanah, Melaka. Tetapi, tahun ini, kami memilih beraya di rumah sendiri kerana isteri sedang menanti masa untuk bersalin.

“Seperti tahun terdahulu, saya tetap bercuti sempena Aidilfitri. Cuma, kali ini, masa saya banyak dihabiskan dengan menguruskan isteri dan anak. Bagaimanapun, rumah kami tetap terbuka untuk menerima tetamu,” katanya.

Amar mendirikan rumah tangga dengan Arna Salleh pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Amar Taufiq pada 9 Julai 2014.

Berita Harian X