Sabtu, 8 Jun 2019 | 2:06pm
PASANGAN pelakon, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson bertunang di Perth, Australia, hari ini. - Foto Instagram Aiman Hakim Rizda

Aiman Hakim, Zahirah bertunang di Perth

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson, selamat mengikat tali pertunangan, sebentar tadi, di kediaman ibu pelakon wanita itu di Perth, Australia.

Aiman, 30, berkongsi berita gembira itu menerusi laman sosial Instagramnya yang disertakan dengan gambar mereka berdua di pelamin.

“Engaged (Bertunang). Alhamdulillah, syukur,” tulis Aiman ringkas yang tentu sahaja cepat mendapat perhatian pengikutnya selain peminat dan teman artis dengan masing-masing mengucapkan tahniah atas pertunangan mereka.

Zahirah, 24, pula berkongsi gambar cincin yang tersemat di jari manisnya di Intagram miliknya, kira-kira sejam lalu.

Pasangan terbabit kelihatan sama cantik sama padan dalam persalinan rona kuning cair.


ZAHIRAH berkongsi gambar cincin pertunangan di laman sosial Instagramnya, sebentar tadi.

Hubungan cinta pasangan pelakon drama Curi Curi Cinta itu bukan lagi rahsia apabila Aiman mula berkongsi gambar mereka berdua pada Disember tahun lalu, berserta dengan tanda pagar #ZahirAH.

Sisipan hiburan B*POP, 1 Jun lalu, turut menyiarkan artikel dalam ruangan Desas-Desus mengenai pasangan berkenaan yang dijangka melangsungkan majlis pertunangan dalam waktu terdekat.

Terdahulu, bintang kelahiran program Mentor musim kelima itu dan beberapa ahli keluarganya dilihat menyambut Aidilfitri bersama famili Zahirah di Australia.

Berita Harian X