Ahad, 9 Jun 2019 | 9:00am
PENYANYI, Andi Bernadee, ketika menjayakan rakaman program Meletop Raya di Bukit Jalil. -NSTP/Azhar Ramli
PENYANYI, Andi Bernadee, ketika menjayakan rakaman program Meletop Raya di Bukit Jalil. -NSTP/Azhar Ramli

Andi beraya salah rumah

KUALA LUMPUR: Setiap kali Aidilfitri menjelma, Andi Bernadee pasti teringatkan kejadian dirinya dan keluarga beraya di rumah yang salah.

Penyanyi lagu Donde itu berkata, insiden yang berlaku ketika mereka meraikan hari raya di kampung halaman di Sabah, beberapa tahun lalu, tetap segar di ingatannya.

“Banyak sebenarnya kenangan tidak dapat dilupakan apabila bercerita mengenai sambutan hari raya. Paling diingati adalah insiden kami sekeluarga beraya di rumah yang salah.

“Perancangan asalnya, saya ingin berkunjung ke rumah seorang rakan untuk beraya, namun tersalah masuk simpang. Sehinggalah masing-masing selesai makan, tuan rumah yang dikenali tidak juga kelihatan. Ketika bersalaman apabila hendak pulang, barulah kami perasan, tersalah rumah rupa-rupanya.

“Terbahak-bahak kami sepanjang perjalanan pulang kerana tidak sangka, kami beraya di rumah orang yang tak dikenali. Sehingga ke hari ini, pengalaman itu masih segar di minda kami sekeluarga,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Andi berkata, dia bercuti selama 10 hari untuk bersama keluarga di kampung.

“Saya berasakan, inilah masa paling baik untuk meluangkan waktu bersama insan tersayang, apatah lagi selepas sibuk mencari rezeki di ibu negara. Kesibukan kerja juga membuatkan saya jarang dapat pulang bertemu mereka.

“Seperti tahun sebelumnya, tiada apa yang berbeza pada sambutan Aidilfitri kami sekeluarga, kali ini. Cuma, cuti diambil lebih pendek dan selepas habis beraya di sana, saya akan kembali sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, di Semenanjung,” kongsi Andi.

Penyanyi berusia 28 tahun ini mula menjadi perhatian ramai apabila menyanyikan lagu parodi Tak Tun Tuang, pada 2017.

Kini, dia sedang mencari lagu terbaik untuk dijadikan single terbaru yang diharap dapat membawanya ke pentas Anugerah Juara Lagu.

Berita Harian X