Ahad, 9 Jun 2019 | 12:33pm
FATTAH kehilangan datuk tersayang pada 3 Syawal lalu. - Foto IG Fattah Amin

Fattah Amin kehilangan datuk

KUALA LUMPUR: Ketika kemeriahan 1 Syawal masih dirasai, pelakon popular, Fattah Amin menerima berita duka apabila datuk kesayangannya, Musa Omar, meninggal dunia, Jumaat lalu.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 berkongsi berita duka itu dalam satu muat naik menerusi Instagramnya, semalam.

Dalam catatan ringkasnya, Fattah berkata, pemergian datuknya turut membawa bersama kenangan ketika zaman kecil apabila dia sering dibawa berjalan-jalan dengan motosikal untuk minum kopi.

“Kenangan duit raya dimasukkan terus ke dalam poket dan bukan sampul raya, selain dimanjakan kerana ‘cucu sulung’. Kenangan itu menghiasi memori indah ketika kecil dan akan terus terpahat pada hari mendatang, insya-Allah...

“Semoga pemergian datuk pada hari penghulu segala hari dimuliakan tempatnya dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” luah Fattah dalam catatan itu.

Perkongsian pelakon yang popular menerusi drama Hero Seorang Cinderella itu dibanjiri dengan ucapan takziah daripada rakan artis dan peminat yang turut berkongsi kedukaan mereka.

Terdahulu, Fattah berkongsi kegembiraan menyambut kedatangan 1 Syawal bersama isterinya, Nur Fazura Sharifuddin dan keluarga di kampung halamannya di Bagan Datuk, Perak.

Berita Harian X