Isnin, 10 Jun 2019 | 2:28pm
FIZO tidak melatah berdepan spekulasi apabila dia dan isteri tidak menyambut 1 Syawal bersama. Foto IG Mawar Abdul Karim

'Tak raya bersama kerana bapa Mawar sakit'

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Fizo Omar menepis spekulasi rumah tangganya sedang dilanda badai apabila dia dan isterinya meraikan sambutan 1 Syawal di lokasi berasingan.

Fizo berkata, mengikut perancangan, dia dan isterinya, Mawar Abdul Karim sepatutnya meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.

Namun, pada saat akhir, isterinya dan anak mereka, Wan Maryam terpaksa pulang ke kampung Mawar di Pulau Pinang apabila bapa mentuanya jatuh sakit.

“Kaki bapa mentua tiba-tiba terseliuh menyebabkan Mawar bimbang. Saya pula kebetulan sudah pulang ke Kota Bharu lebih awal, jadi mahu atau tidak, kami terpaksa menyambut 1 Syawal berasingan.

“Hubungan kami tiada masalah, malah semuanya berjalan seperti biasa. Cuma, perancangan kami untuk menyambut hari raya bersama tidak menjadi kenyataan disebabkan kejadian yang tidak diduga,” katanya.

Fizo atau nama penuhnya, Wan Hafizol Wan Omar, berkata selama hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah berjauhan pada hari raya.

“Memang terasa janggal apabila tidak bersama isteri dan anak pada pagi raya. Rindu memang rindu, tetapi apa boleh buat kerana semuanya sudah tertulis.

“Tiada apa yang perlu dibangkitkan kerana selepas ini, kami tetap bertemu semula apabila masing-masing pulang ke ibu kota,” katanya yang kembali memulakan tugas hari ini.

Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada 10 November 2013. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia hampir dua tahun.

Berita Harian X