Selasa, 11 Jun 2019 | 5:26pm
WANY Hasrita elakkan diri membazir untuk barangan tidak perlu. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
WANY Hasrita elakkan diri membazir untuk barangan tidak perlu. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Wany Hasrita tak ajar diri bermewah

KUALA LUMPUR: Biarpun berkemampuan memiliki barangan keperluan berjenama mewah, penyanyi Wany Hasrita lebih selesa untuk hidup bersederhana.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Menahan Rindu itu berkata, dia menghargai setiap sen yang diperoleh hasil titik peluhnya, justeru enggan membazir untuk perkara yang tidak perlu.

Malah, sempena 1 Syawal lalu, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 31 itu hanya menyediakan dua persalinan baharu untuk meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

“Sejak kecil lagi, saya sudah dididik supaya bersederhana dalam apa juga perkara. Walaupun saya anak tunggal, saya tidak diajar untuk bermewah-mewah.

“Sikap itu tidak berubah, biarpun saya sudah mempunyai pendapatan sendiri dan membawa status selebriti. Saya selesa begini, lagipun tidak keperluan untuk saya menyediakan pelbagai persalinan hanya untuk menyambut hari raya,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu berkata, dia bertuah kerana menerima banyak hadiah, terutama persalinan untuk digayakan sempena musim Aidilfitri.

“Saya lebih menggemari rekaan ringkas dan selesa, tidak perlu terlalu glamor kerana saya biasanya hanya di rumah menanti ketibaan tetamu,” katanya.

Wany berkata, disebabkan belum mahir menyediakan juadah istimewa pada musim raya, kebiasaannya tugasan di dapur diambil oleh ibu dan ibu saudaranya.

Sementara itu, Wany mengakui, sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna apabila dia tampil dengan lagu baharu, Sinar Terindah, duet bersama Wani Shaz.

Lagu itu dihasilkan Wani Shaz, manakala liriknya ditulis Wany sendiri.

“Paling seronok apabila kami diberi kepercayaan untuk menghasilkan sendiri lagu itu. Video muzik rasmi lagu itu juga sudah diterbitkan untuk tontonan umum di Youtube,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wany turut muncul dengan telefilem raya, Cerita Raya Luar Biasa bersama rakan seperjuangannya seperti Ismail Izani, Andy Bernadee dan Eriq Fuzy.

Berita Harian X