Jumaat, 14 Jun 2019 | 11:00am
DUA trofi yang mengiktiraf bakatnya bukan jaminan untuk Kodi Rasheed meraih peluang berlakon. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DUA trofi yang mengiktiraf bakatnya bukan jaminan untuk Kodi Rasheed meraih peluang berlakon. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dah lali nama tenggelam timbul - Kodi Rasheed

KUALA LUMPUR: Dua trofi yang mengiktiraf bakatnya tidak memberi laluan mudah kepada pelakon Kodi Rasheed untuk meraih tawaran berlakon.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Ophilia itu berkata, dia sudah lali melalui situasi itu, biarpun jauh di sudut hati terselit keinginan untuk memacu laju perjalanan kerjaya seninya.

Namun, Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Shazmeer Mohd Rasheed tidak menjadikan isu itu sebagai alasan berundur, sebaliknya semangatnya semakin membara untuk membuktikan kemampuan.

“Selepas menang anugerah pertama, Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke- 27 (FFM 27) pada 2015, saya pernah tiga bulan tidak menerima tawaran berlakon.

“Rezeki saya bagaimanapun, kembali murah selepas memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2016.

“Tetapi, selepas itu, nasib saya bagaikan tenggelam timbul. Mungkin pengarah, penerbit atau stesen televisyen yang terlepas pandang dan tidak menyedari kehadiran saya,” katanya.

Kodi berkata, dia hanya berpegang kepada tiga perkara iaitu doa, usaha dan tawakal, selain percaya rezeki setiap manusia sudah tertulis.

“Sekiranya tiada tawaran berlakon, saya penuhi dengan berjinak-jinak menerusi kerja di balik tabir, termasuk menulis skrip.

“Sepatutnya skrip filem yang saya hasilkan akan memulakan penggambaran, hujung tahun ini, tetapi ia tidak kesampaian apabila penerbitnya meninggal dunia, Ramadan lalu.

“Mungkin belum rezeki, tetapi saya tetap tidak berputus asa mencari dana untuk meneruskan projek itu,” kata Kodi mengenai filem yang berkisar mengenai pendatang asing itu.

Tidak menafikan, dia meniti laluan sukar untuk mempertahankan nama sejak mula berlakon pada 2010. Kodi berkata, empat tahun pertama sangat menguji kerana dia hanya menerima tawaran watak sampingan.

“Saya berterima kasih kepada Que Haidar yang melihat kekuatan bakat saya, lalu mengundang berlakon teater.

“Saya akur dengan rezeki yang tertulis, namun berharap penerbit dan stesen televisyen memberikan peluang kerana saya juga perlukan ruang untuk berkongsi bakat,” katanya.

Berita Harian X