Isnin, 17 Jun 2019 | 11:00am
Jee teringat kenangan menyambut Aidilfitri bersama arwah ayah yang rajin membantu ibu menyediakan juadah. Foto NSTP Azhar Ramli

Jee rindu insan tersayang

KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam masih bergembira meraikan lebaran, tidak kurang insan yang teringat kembali memori bersama insan tersayang setiap kali bulan mulia itu menjelma.

Penyanyi kesayangan ramai, Fauziah Latiff, tidak terkecuali apabila kenangan meraikan Syawal bersama arwah ayah tercinta sentiasa segar dalam ingatannya, walaupun sudah 13 tahun insan yang menjadi idolanya itu kembali ke rahmatullah.

Sebagai ketua keluarga, Allahyarham adalah insan paling sibuk membuat persiapan hari raya untuk seisi keluarga, sekali gus memastikan segala-galanya sempurna.

Katanya, soal juadah pagi 1 Syawal antara perkara yang dititik beratkan supaya setiap tetamu seronok menikmati juadah yang juga tanda bersyukur dengan kehadiran rakan taulan dan saudara-mara.

“Ayah saya, Sheikh Abdul Latiff, sentiasa dalam ingatan kami dan tentunya kehadiran Ramadan serta Aidilfitri menambahkan lagi kerinduan terhadapnya.

“Dia orang paling sibuk menyediakan keperluan kami. Bukan hanya membantu ibu mengemas rumah dan membeli baju raya, arwah juga ligat membantu serta handal di dapur. Juadah air tangannya yang saya suka termasuk asam pedas, ayam masak kicap, kari daging dan sambal sardin.

“Emak pula pakar memasak lontong dan kuah lodeh. Kebiasaannya, keluarga kecil kami akan sibuk di dapur menjelang lebaran. Mereka jadi cef, saya dan adik cuma pembantu dapur,” katanya kepada BH Online.

Cerita penyanyi Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan itu lagi, andai membuat persediaan di rumah nenek pula, mereka bersama ibu serta bapa saudara lain akan bergotong-royong memasak.

Katanya, ia tidak ubah seperti hendak mengadakan kenduri.

“Di rumah nenek lagi meriah. Mereka siap sediakan kuali dan periuk besar sebab semua juadah dimasak dalam kuantiti yang banyak. Rumah nenek jadi tumpuan saudara-mara dan jiran tetangga, jadi kami perlu buat persediaan secukupnya.

“Memang tak menang tangan kalau orang datang. Begitupun kami ada pembahagian tugas dalam kalangan sepupu supaya senang dan tiada yang curi tulang menghadap televisyen sahaja," katanya.

Sekali-sekala, ceritanya terhenti dan dia terdiam seketika seakan-akan cuba mengingati detik lain yang menjadi sebahagian daripada sejarah kehidupan.

Walau pun kini segala yang indah itu hanya tinggal sejarah, tradisi menyediakan juadah raya bersama-sama seisi keluarga cuba diterapkan bagi mengembalikan nostalgia.

Bersyukur masih diberi peluang berbakti kepada bonda kesayangan, kata Fauziah yang mesra disapa Jee itu, paling penting kini dia dapat berhari raya bersama ibunya.

“Alhamdulillah, Allah bagi saya rezeki menjaga emak. Sudah pasti saya mahu menggembirakan dirinya selagi hayat dikandung badan. Begitu juga dengan sambutan Aidilfitri, setiap tahun kami akan berhari raya bersama-sama.

“Itulah rutin saya selepas ketiadaan ayah. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya kadang kala membawa emak dan ibu saudara pergi makan angin.

“Tak kisah pun jika sekadar bercuti dalam negara, asalkan kami dapat bersama-sama kerana Syawal sangat bermakna apabila kita dikelilingi insan tersayang,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu.

Ditanya mengenai dua anak bujangnya, Jeffri Joaquim, 20 dan Jeremy Jay, 18, akui Jee, mereka kadang kala di luar negara dan perlu melihat dahulu jadual pengajian untuk pulang bercuti atau sebaliknya.

Mengenai persiapan untuk diri sendiri, Jee mengakui dia tidak banyak berbelanja untuk pakaian atau membeli-belah, sebaliknya selesa memakai apa sahaja yang ada.

Sikap sedemikian, katanya, hasil didikan arwah bapanya sejak kecil. Malah, ketika namanya berada di puncak dalam dunia seni, Jee akui lebih suka bersederhana.

“Saya beli sepasang atau dua sahaja baju raya. Biasanya, baju kurung Johor kain kapas untuk dipakai pada pagi raya. Hari lain, saya sarung sahaja baju kurung sedia ada,” ujarnya.

Mengimbau pula zaman kegemilangan sebagai penghibur kesayangan ramai, katanya, setiap kali tiba 1 Syawal, dia masih bekerja sama ada memenuhi undangan nyanyian pada pagi raya untuk siaran langsung TV atau program rakaman.

“Sebenarnya, kalau dikenang kembali, bekerja pada malam atau pagi raya tetap menjadi nostalgia manis. Ketika itu, kami dapat berkumpul sesama rakan artis dan kru TV. Terasa kemeriahannya.

“Bagi saya, tiada sebarang kekangan pun sebab rumah kami di Klang, Selangor sahaja. Lagi pun, ayah sentiasa temankan. Lepas selesai acara, kami sekeluarga akan pulang ke kampung.

“Antara perkara lain saya tunggu menjelang Aidilfitri adalah kiriman kad raya. Ketika mula-mula berada dalam bidang ini, saya terkejut terima berguni-guni kad. Macam-macam ucapan peminat diterima dan sebahagiannya siap selitkan bedak dalam kad mereka. Ada juga yang mengarang pantun. Sekarang, ada ucapan maya, tetapi perasan menerima kad raya lebih menyeronokkan,” tambahnya.

Terdahulu, nama Jee meledak bermula dengan album sulung berjudul Digamit Memori yang dilancarkan pada 1988.

Populariti yang diraih pada waktu itu cukup luar biasa disebabkan keunikan vokal serta keperibadian dan tutur katanya yang lemah lembut.

Hingga kini, dia mempunyai 17 album studio, dengan kali akhir tampil bersama album penuh adalah pada 2010 bersama naskhah diberi judul Keunggulan.

Berita Harian X