Selasa, 18 Jun 2019 | 9:00am
Haqiem mempertaruhkan single baharu Lembah Kesepian yang bertemakan hubungan anak dan ayah, berbeza daripada kisah cinta seperti Tergantung Sepi. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Haqiem pertaruh kisah ayah, anak dalam lagu

KUALA LUMPUR: Tidak gentar mengambil risiko, Haqiem Rusli tampil dengan single baharu bertemakan hubungan anak dengan ayah, bukannya cinta.

Haqiem memberitahu, lagu berjudul Lembah Kesepian memberi anjakan baharu dalam kariernya yang bukan sekadar mengalunkan lagu cinta atau balada.

“Lagu ini menunjukkan saya mengambil risiko dengan melakukan sesuatu yang berbeza. Mungkin orang boleh terima atau sebaliknya... Itu terserah.

“Tapi sekiranya orang ramai terima, ia lebih bagus,” katanya kepada BH Online.

Haqiem berkata, dia tidak boleh meletakkan sasaran setiap lagu baharu yang dipasarkan, melonjak dan popular.

“Saya menghasilkan lagu untuk kepuasan diri. Ini adalah bonus jika lagu baharu itu mendapat sambutan baik seperti Tergantung Sepi.

“Bagaimanapun, saya berharap lagu ini boleh pergi jauh. Karya ini istimewa buat saya, apatah lagi saya berpuisi dalam single ini,” katanya.

Haqiem juga mencipta lagu untuk penyanyi lain seperti Ibu dendangan Tajul, Aku Yang Bersalah (Usop) dan Kenangan (Zack Zakwan) yang sudah dipasarkan.

“Setakat ini, saya sudah mencipta 14 lagu termasuk untuk penyanyi lain. Alhamdulillah, semua lagu mendapat sambutan baik. Saya mahu mencipta lebih banyak lagi lagu untuk industri,” katanya.

Haqiem berkata, dia masih berusaha menyiapkan album kedua yang dijangka menjengah pasaran, tahun hadapan.

“Lagu What Can I Do For You dan Lembah Kesepian antara lagu yang saya hasilkan untuk album kedua.

“Ada satu lagi single akan saya lancarkan, tahun ini. Baki empat lagu lain bakal dipasarkan, tahun hadapan,” katanya.

Berita Harian X