Rabu, 19 Jun 2019 | 11:00am
KETEGASAN arwah bapa membentuk Fizo dan tiga adik-beradiknya supaya berani berdikari. Foto IG Fizo Omar

Fizo Omar pernah kutip telur cari wang saku

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Fizo Omar, berkata jika tidak kerana didikan bapanya, Wan Omar Wan Ishak yang mengajar supaya berdikari sejak kecil, tidak mungkin dia mampu membina hidup seperti hari ini.

Fizo atau nama penuhnya, Wan Hafizol Wan Omar, 33, mengakui pernah memberontak apabila terpaksa bangun awal pagi untuk masuk ladang, sedangkan kawan-kawan sebaya bebas melakukan aktiviti sendiri.

“Di belakang rumah ada ladang limau nipis seluas 12 ekar yang turut menempatkan 10,000 itik. Saya perlu mengutip telur dan mencuci najis yang melekat dengan pisau bagi mengelakkan ia rosak.

“Bayangkan kalau ada 10,000 itik, berapa biji telur yang harus saya kutip sehari? Itulah kerja saya dan tiga adik-beradik lain.

“Pulang dari sekolah, ayah bawa cari pelanggan hingga kami akhirnya disuruh berurusan sendiri. Tahu upah berapa? Saya dapat 2 sen setiap biji.

“Berdesing juga telinga, tetapi hanya itu cara untuk mendapatkan duit. Kalau mahu duit lebih, kami kena rajin,” katanya mengimbas kenangan ketika zaman kanak-kanak.

Fizo berkata, arwah bapanya tidak pernah mengajar dia dan adik-beradiknya hidup mewah, sebaliknya mereka dididik menggunakan tulang empat kerat untuk mendapatkan barangan yang dihajati.

“Arwah ayah hanya sediakan duit belanja sekolah, tetapi jika mahu benda lain, dia akan tunjukkan telur itik dan buah limau di ladang untuk dikutip.

“Arwah hanya belikan saya kasut bola kerana mahu sangat melihat saya menjadi wakil Malaysia. Kalau tahu kami dapat duit lebih, arwah ambil dan masukkan dalam akaun bank.

“Bengang juga kerana kami sudah ada perancangan untuk membeli macam-macam. Sempat juga saya ambil sedikit wang untuk beli aksesori basikal, tetapi jika diikutkan, kami memang tak puas hati dengan cara ayah,” katanya.

Namun, kata Fizo, apabila menganjak dewasa, dia mula faham mengapa arwah ayahnya berbuat demikian. Malah, Fizo juga bersyukur, hasil didikan bapanya itu, dia kini mempunyai rangkaian perniagaan sendiri.

“Selepas masuk universiti, saya teringin mempunyai kereta dan seperti biasa, saya kena cari sendiri duit untuk bayar wang pendahuluan.

“Setiap malam, saya jual nasi lemak dan setiap bungkus, saya dapat 20 sen. Dengan duit hasil jualan nasi lemak itu, saya mampu bayar ansuran RM180 sebulan dan untuk menambah pendapatan, saya sewakan pula kereta itu.

“Memang pada awalnya saya tidak nampak apa yang dibuat, tetapi arwah ayah sebenarnya sedang menyiapkan 'bekalan' untuk kami sebagai persediaan masa hadapan,” katanya.

Memori itu dikongsi Fizo menerusi satu hantaran di laman sosial sebagai menghargai tunjuk ajar arwah bapanya yang membentuk dirinya seperti hari ini.

Fizo berkata, apabila meningkat dewasa, dia mula mengerti ketegasan, tunjuk ajar dan ilmu yang diturunkan insan dihormatinya itu membolehkan dia dan tiga saudaranya berdikari.

Berita Harian X