Rabu, 19 Jun 2019 | 1:00pm
PRODUSER, A Aida bersama dua anak perempuannya, Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha. - Foto Instagram A Aida

Kena pikat hati keluarga dahulu - Anak A Aida

KUALA LUMPUR: Anak penerbit drama popular, Datuk A Aida, bukan sekadar menyokong keputusan dibuat ibu mereka, malah tumpang bahagia dengan pilihannya.

Wan Az Aleesa berkata, tiada apa yang dimahukan olehnya dan Wan Azevanatassha selain kebahagiaan wanita amat disayangi mereka itu.

"Pastinya apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ibu adalah hasil perbincangan bersama anak-anak. Asalkan ibu gembira, kami turut sama-sama tumpang bahagia.

"Sepatutnya, mereka masih berada dalam fasa bulan madu yang membahagiakan, namun nampaknya ibu lebih bahagia apabila membuat keputusan untuk berpisah. Jadi, jika keputusan yang diambil ini lebih menggembirakan ibu, kami sentiasa berada di belakangnya.

"Cuma, mana-mana lelaki yang ingin berkahwin dengan ibu perlu memenangi hati anak-anak dan keluarga terlebih dahulu," kata Aleesa, 22, kepada BH Online.

A Aida yang mendirikan rumah tangga buat kali keempat dengan pelakon, Ariff Aziz, pada 21 Julai tahun lalu, memaklumkan sudah bercerai talak satu ketika ditemui pada sebuah majlis bersamanya di sini, semalam.

Menurut A Aida atau nama lengkapnya Zaidah Awang, 48, dia memfailkan permohonan cerai pada 4 April lalu, sebelum disahkan berpisah pada 25 April lalu di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini.

Sementara itu, cahaya mata kedua penerbit terbabit, Azevanatassha, 17, menjelaskan mereka takkan menghalang andai ibu mereka berhasrat untuk mendirikan rumah tangga lagi pada masa hadapan.

"Jodoh dan ajal terletak di tangan Tuhan. Bab perkahwinan juga tiada titik noktahnya. Apatah lagi, kami meningkat dewasa dan mahukan peneman hidup buat ibu.

"Malah, sejak awal lagi saya sudah menasihatkan ibu untuk mengenali terlebih dahulu hati budi bakal pasangan. Cuma, ibu tidak mahu membuat dosa, jadi dia memilih untuk bercinta selepas kahwin," katanya.

Berita Harian X