Rabu, 19 Jun 2019 | 3:26pm
PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, ketika menghadiri prosiding permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan ke atasnya, Mei lalu, di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir
PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, ketika menghadiri prosiding permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan ke atasnya, Mei lalu, di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir
PELAKON dan penulis skrip, Fadzil Zahari. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON dan penulis skrip, Fadzil Zahari. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Keluarga Farid lega hukuman penjara ditangguh

KUALA LUMPUR: “Apa yang saya boleh cakap Alhamdulillah... Allah mempermudahkan urusan kami,” kata adik Datuk Farid Kamil Zahari, Fadzil, berhubung penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan terhadap pelakon dan pengarah itu, hari ini.

Bagaimanapun, Fadzil enggan memberikan ulasan lanjut, sebaliknya dia yang dihubungi BH Online hanya memaklumkan sedang sibuk menguruskan hal terbabit.

Penulis skrip dan usahawan itu hadir sebagai penjamin abangnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini, pagi tadi.

“Saya minta maaf kerana sibuk sikit. Apa-apa, boleh rujuk kepada peguam kami,” katanya ringkas.

Pagi tadi, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, membenarkan permohonan Farid, 38, selaku pemohon dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini.

Dalam keputusannya, Hakim memerintahkan bintang Lagenda Budak Setan itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, Farid diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.

Bapa kepada dua cahaya mata itu sebelum ini sudah menjalani hukuman berkenaan di Penjara Kajang selama 35 hari, sejak 15 Mei lalu.

Pada 15 Mei lalu, Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Berita Harian X