Khamis, 20 Jun 2019 | 10:54am
LATAR belakang hitam menjadi perlambangan emosi Sam yang akhirnya mengaku bercerai dengan Aida, dalam pengumuman yang dibuat di IG, malam tadi. - Foto IG Sam Bunkface
LATAR belakang hitam menjadi perlambangan emosi Sam yang akhirnya mengaku bercerai dengan Aida, dalam pengumuman yang dibuat di IG, malam tadi. - Foto IG Sam Bunkface

Sam Bunkface sah bercerai

KUALA LUMPUR: Vokalis Bunkface, Shamsul Anuar Mohd Baharom, 31, atau Sam memohon maaf merahsiakan perceraian dengan bekas isterinya, Aida Azira Husin, Januari lalu.

Sam berkata, dia tidak menghebahkan perkara itu demi menjaga hak peribadi selain perasaan keluarga.

"Perkahwinan kami yang bertahan selama empat tahun diakhiri dengan persetujuan bersama dan demi kebaikan masing-masing.

"Saya ingin mengesahkan bahawa pada Januari lalu, saya dan Aida memfailkan perceraian kami di hadapan Hakim Mahkamah Syariah.

"Minta maaf kerana menyimpan berita ini selama beberapa bulan. Ini kerana saya amat menjaga privasi dan perasaan keluarga Sam serta Aida," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Instagram (IG), malam tadi.

Sam berkata, hubungannya dengan Aida masih baik demi urusan penjagaan satu-satunya anak mereka.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya kami dalam industri ini. Doakan saya tabah meneruskan perjalanan di bumi Allah ini," luahnya.

Pendedahan itu adalah rentetan pengakuan Aida semalam, yang mengesahkan dia dan Sam sudah bercerai pada akhir Januari lalu.

Sebelum ini, Sam mengaku mereka masih bersama biarpun masing-masing dilihat tidak lagi berkongsi gambar di laman sosial.

Sam pada mulanya dilihat memadam foto bersama isterinya di IG dengan alasan ingin menggunakan platform berkenaan bagi tujuan kerjaya.

Sam mendirikan rumahtangga dengan Aida pada 25 April 2015 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Maleeq yang berusia tiga tahun.

Berita Harian X