Khamis, 20 Jun 2019 | 12:20pm

Mawi tenang hadapi pemergian ibu

KULAI: "Saya rasa sangat tenang kerana sempat berbakti kepada ibu sepanjang hayatnya," kata Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 38, selepas pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Islam FELDA Taib Andak di sini, hari ini.

Penyanyi dan juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu yang turut sempat mengimamkan solat jenazah ibunya, Ramlah Sarlan, 72, berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian wanita itu yang disifatkan sangat mudah dan lancar.

"Dia sakit sudah lama tapi tidak terlalu serius. Bagaimanapun dia dimasukkan ke hospital kira-kira 11 hari lalu akibat jangkitan kuman pada darah, paru-paru dan hati.

"Dia tidak menunjukkan kesakitan malah tidak pernah mengerang atau mengeluh selama ini. Doktor membenarkannya pulang semalam dan keadaannya kelihatan seperti semakin baik.

"Bagaimanapun, menjelang Maghrib keadaannya berubah menjadi nazak sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.10 malam di sisi ramai ahli keluarga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara, rakan dan penduduk kampung hadir pada majlis pengebumian itu termasuk isteri Mawi, Nora'Asikin Rahmat atau Ekin, 40.

Pada 2006 Mawi kehilangan bapanya, Ani Ahmad, 66, akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

MAWI bersama isteri Nora Asyikin Rahmat menyiram air mawar di kubur ibunya Ramlah Sarlan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Taib Andak Kulai. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X