Khamis, 20 Jun 2019 | 4:47pm
PELAKON, Ariff Aziz, enggan lagi menoleh ke belakang selepas berpisah dengan bekas isteri, Datuk A Aida. - Foto ihsan Ariff Aziz

Jangan lagakan kami lagi - Ariff

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ariff Aziz, 30, berharap dirinya tidak lagi dilaga-lagakan dengan bekas isteri yang juga produser terkenal, Datuk A Aida.

Menurutnya, dia sudah pun memulakan kehidupan baharu dan enggan lagi dikaitkan dengan kisah lalu.

“Saya berharap semua pihak tidak perlu memanjangkan perkara ini. Jangan melaga-lagakan saya dengannya lagi.

“Segala entri dimuat naik di laman sosial, termasuk di Instagram, tidak ada kena mengena dengan kehidupan saya yang lalu. Saya sudah memandang ke hadapan dan jangan terus mengaitkan saya dengannya.

“Untuk dia (A Aida), saya doakan semoga terus berbahagia dengan kehidupannya. Saya sudah ada hidup baru sekarang dan tidak akan menoleh ke belakang lagi,” katanya kepada BH Online.

Ariff berkata demikian ketika mengulas mengenai perkongsian di laman sosialnya yang dianggap sesetengah warganet sebagai sindiran atau memperlekehkan bekas isterinya.

“Sebagai langkah berhati-hati, saya takkan lagi memuat naik apa-apa entri yang mungkin boleh menimbulkan pelbagai telahan di laman sosial,” katanya yang kini kembali bekerja sebagai pakar web di sebuah syarikat di ibu kota.

Rabu lalu, A Aida, 49, mengadakan sidang media bagi memperjelaskan status perkahwinannya dengan Ariff. Pasangan terbabit bercerai pada 25 April lalu selepas kira-kira 10 bulan hidup sebagai suami isteri.

Berita Harian X