Khamis, 20 Jun 2019 | 7:10pm
Melalui entri di laman sosial, Lisdawati meminta sesiapa yang mengenali wanita yang didakwa masih berhutang dengannya sejak dua tahun lalu, dapat memberikan maklumat. - Foto IG Lisdawati

Lisdawati tuntut hutang

KUALA LUMPUR: Pelakon Lisdawati mahu seorang wanita bersemuka bagi menyelesaikan isu hutang yang tertunggak, sejak dua tahun lalu.

Lisdawati yang memuat naik foto dan salinan MyKad individu terbabit, mendakwa wanita berkenaan menghilangkan diri selepas menerima sejumlah wang untuk tujuan pelaburan.

“Insiden ini berlaku dua tahun lalu. Wanita terbabit bertemu saya untuk membincangkan mengenai sebuah projek dengan kertas kerja meyakinkan.

“Selepas beberapa pertemuan disusuli bukti kontrak dimaksudkan, hati saya terbuka untuk membuat pelaburan. Saya mula yakin selepas dia mengajak datang ke rumahnya.

“Pada pertemuan itu, saya serahkan jumlah yang dipinta dengan janji akan memberi maklum balas mengenai projek berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Beberapa bulan kemudian, dia berjanji memulangkan wang. Tetapi dia kemudian semakin sukar dihubungi sebelum nombor telefonnya tidak aktif lagi,” katanya kepada BH Online.

Lisdawati atau nama penuhnya, Nisdawati Nazaruddin, 41, berkongsi luahan di Instagram (IG) meminta sesiapa mengenali wanita terbabit menghubunginya.

Selain foto mereka, Lisdawati memuat naik gambar salinan MyKad wanita yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor itu.

Namun, ketika entri dikongsi, ada pengikut salah faham dengan menyangka wanita berkenaan mempunyai kaitan dengan suaminya, Fauzi Nawawi.

Lisdawati berkata, dia hanya membuka mulut selepas bersabar selama dua tahun menunggu wanita terbabit melunaskan hutang.

Sebagai ibu kepada lapan cahaya mata termasuk empat anak tiri, Lisdawati berkata, wang itu dapat digunakan untuk keperluan keluarga.

Ditanya mengapa tidak membawa perkara itu kepada pihak berkuasa, Lisdawati berkata, dia masih mahu memberi peluang kepada individu terbabit.

“Tidak kira berapa lama pun, hutang mesti dilunaskan. Dia juga berstatus ibu, jadi dia perlu faham keadaan saya.

“Ketika insiden itu berlaku, saya sedang hamil. Selepas itu, saya sibuk menguruskan anak bongsu yang sudah mencecah usia 10 bulan.

“Mungkin atas faktor sibuk selain masih menaruh harapan membuatkan saya tidak mencari atau menagih hutang, ketika itu,” katanya yang mendapat persetujuan suami untuk mendedahkan butiran wanita berkenaan di laman sosial.

Lisdawati mendirikan rumah tangga dengan Fauzi yang juga pelakon dan pengarah pada 9 September 2007.

Sementara itu, Fauzi menafikan wanita dicari isterinya, ada hubungan intim dengan dirinya.

“Melalui ruang komen, saya dapat lihat ramai warganet anggap perkongsian isteri adalah berpunca skandal saya. Sedangkan, saya tiada kaitan kerana Lisda yang terbabit dengan sindiket penipuan,” katanya.

Fauzi mendakwa, wanita terbabit melarikan sejumlah besar wang simpanan isterinya.

“Kami ada salinan kad pengenalan, butiran peribadi dan beberapa gambar untuk diberi kepada polis. Namun, kami memberi dia masa untuk menyerah diri secara baik.

“Jika diikutkan hati, saya mahu membuat tindakan undang-undang. Namun, mengenangkan anak-anak wanita terbabit yang masih kecil, kami berikan masa kepadanya untuk meminta maaf dan memulangkan wang diambil,” katanya.

Fauzi berkata, isterinya gemar membantu orang.

“Apatah lagi, dalam kes wanita terbabit, dia membawa anak-anak ke rumah. Dia juga tinggal berhampiran kawasan perumahan. Kami tidak sangka ini adalah sindiket penipuan wang,” katanya yang mendakwa wanita terbabit tidak lagi menetap di kawasan sama.

Berita Harian X