X
Sabtu, 22 Jun 2019 | 7:00pm
PENYANYI, Alif Satar, teruja bakal menimang cahaya mata ketiga, Oktober depan. - NSTP/Aziah Azmee
PENYANYI, Alif Satar, teruja bakal menimang cahaya mata ketiga, Oktober depan. - NSTP/Aziah Azmee

Alif teruja bakal timang anak lelaki

KUALA LUMPUR: Berkongsi kegembiraan bakal menimang cahaya mata lelaki, Oktober depan, Alif Satar menjelaskan sudah lama dia menyimpan berita baik itu daripada pengetahuan umum.

Dikurniakan dua cahaya mata perempuan, sebelum ini, penyanyi, pelakon dan pengacara itu berharap kehadiran bayi lelaki berkenaan bakal menyerikan lagi keluarga kecilnya bersama isteri, Sha Dila.

“Alhamdulillah, tidak lama selepas isteri keguguran, kami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata ketiga. Sudah lama sebenarnya doktor memaklumkan mengenai jantina anak ketiga kami, cuma selepas mendapat pengesahan ketika pemeriksaan dilakukan, baru-baru ini, kami akhirnya berkongsi berita gembira terbabit.

“Tidak ramai sebenarnya yang mengetahui jantina anak ketiga kami ini kerana ia hanya dikongsi bersama anggota keluarga terdekat. Sambutan perkongsian jantina ini pula bukanlah secara besar-besaran, sebaliknya kegembiraan itu diraikan bersama pada Syawal.

“Saya pula memang sukakan kanak-kanak, jadi saya tidak merancang untuk ‘tutup kedai’ dan sebagainya. Semuanya diserahkan kepada rezeki Allah. Mana tahu, pada masa hadapan kami akan dapat seorang lagi anak lelaki atau kembar?” katanya kepada BH Online.

ALIF berkongsi kegembiraan bakal menimang anak lelaki menerusi Instagram beliau, beberapa jam lalu.
ALIF berkongsi kegembiraan bakal menimang anak lelaki menerusi Instagram beliau, beberapa jam lalu.

Selain keluarga, dua anak perempuannya, Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca ,2, turut teruja menanti kelahiran adik mereka.

Memberi bayangan huruf A sebagai pangkal nama cahaya mata ketiganya, Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd Satar, 29, berharap orang ramai mendoakan proses kelahiran isterinya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Sama seperti dua kakaknya, saya dan isteri memilih untuk memberi nama bermula dengan huruf A buat anak lelaki kami yang bakal lahir, tidak lama lagi. Ada beberapa nama yang masih dipertimbangkan oleh kami berdua, saat ini.

“Saya percaya, nama indah yang membawa maksud baik-baik bakal membentuk peribadi seseorang individu itu. Jadi, saya enggan terburu-buru untuk memilih nama bagi bakal anak. Insya-Allah, tiba masanya ia akan dikongsikan bersama umum,” kata Alif.

Berita Harian X