Ahad, 23 Jun 2019 | 9:00am
PENYANYI, Amy, bersyukur apabila hubungannya dengan Nabila Huda kembali jernih. - NSTP

Amy bersyukur hubungan dengan Nabila pulih

KUALA LUMPUR: Syawal yang dirai ketika ini cukup bermakna buat bintang rock, Amy Search, 60, apabila hubungan dengan anak perempuannya, Nabila Huda, kembali jernih.

Hubungan yang pernah dingin itu dilihat kembali mesra menerusi video dimuat naik pelakon dan pengarah, Erma Fatima, di laman Instagramnya, beberapa hari lalu. Ia turut dikongsi semula oleh Nabila di laman sosialnya.

Menurut Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, Erma dan isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish, menjadi orang penting dalam usaha menjernihkan semula hubungannya dengan Nabila, 34.

“Saya memang tidak boleh menggambarkan dengan kata-kata mengenai detik berharga ini apabila hubungan saya dan Nabila kembali baik. Pada masa sama, saya bersyukur dengan rahmat penyatuan ini.

“Kami memang berdepan sedikit salah faham (dengan Nabila) membabitkan cucu (Keisha Laila), dan ia berpanjangan hingga mengeruhkan keadaan. Saya dan Nabila pula masing-masing tebal dengan sifat merajuk serta degil. Kedua-dua tidak mahu beralah. Kami bersikap seperti budak-budak apabila perkara sebegini terjadi.

“Sewaktu kami bersua semula, saya dan Nabila saling berpandangan serta ketawa mengenangkan perangai masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Menceritakan kembali detik pertemuan terbabit, penyanyi Isabella itu mengaku tidak tahu mengenai rancangan Erma dan isterinya.

“Saya harus memuji usaha Erma dan isteri. Saya juga amat bersyukur dengan usaha dilakukan mereka. Saya rasa, jika bukan kerana semua ini, mungkin saya dan Nabila akan terus membawa haluan sendiri.

“Erma pada awalnya datang nak beraya di rumah dan saya memang tidak dapat menghidu pakatan mereka. Hanya selepas dua jam kami rancak berborak, Nabila, suami dan anaknya menyusul.

“Pada masa sama, isteri sudah meminta anak saya yang lain keluar menonton wayang. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik,” katanya.

Mengenai dakwaan kononnya Nourish antara punca yang menjarakkan lagi hubungannya dengan Nabila, Amy menafikan perkara terbabit.

“Orang di luar sana dengan cepat menjatuhkan hukum terhadap perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka bebas bercakap apa sahaja, tanpa mengetahui kebenarannya. Bagi saya, dia (Nourish) sangat melindungi saya dan anak,” katanya.

Amy turut merancang majlis kejutan hari lahir untuk Nourish, bersama Nabila, selepas pertemuan berkenaan. Ia disambut beberapa hari selepas tarikh sebenar kelahiran isterinya, iaitu 15 Jun.

Berita Harian X