Ahad, 23 Jun 2019 | 6:51pm
NEELOFA berharap pencalonannya dalam Influencer Awards 2019 Monaco memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk meraih pelbagai peluang besar di luar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Neelofa raih pencalonan dalam Influencer Awards 2019 Monaco

KUALA LUMPUR: Pengacara yang juga ahli perniagaan terkenal, Neelofa menyifatkan pencalonan dalam kategori usahawan pada anugerah berprestij antarabangsa, Influencer Awards 2019 Monaco sebagai ruang terbaik untuk mengukuhkan empayarnya.

Bakal berlangsung di Monaco pada 5 dan 6 Oktober depan, Neelofa berkata, dia tidak menduga namanya disenaraikan dalam anugerah anjuran keluarga diraja Monaco itu.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka nama saya tersenarai dalam anugerah ini. Sudah tentu, kemenangan adalah perkara paling besar dalam hidup saya.

“Peluang ke sana juga saya akan manfaatkan untuk bertemu individu berpengaruh di seluruh dan mengembangkan rangkaian perniagaan saya,” katanya.

Berharap pencalonannya itu dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menggapai impian lebih besar, Neelofa berkata, dia begitu menghargai peluang yang julung-julung kali datang itu.

Kali kedua dianjurkan, Influencer Awards 2019 Monaco direalisasikan Pauline Ducruet yang juga anakanda sulung Puteri Monaco, Stephanie bersama beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Influencer Awards 2018 Monaco diadakan pada 7 Oktober lalu di Hotel Meridien Beach Plaza menyaksikan 27 anugerah diserahkan pada majlis itu.

Antara pemenang pada majlis tahun lalu termasuk penulis blog fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Gaya Hidup) dan jurusolek Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Jurusolek Paling Berpengaruh).

Berita Harian X