Rabu, 26 Jun 2019 | 7:10pm
FAIZAL teruja diberi kepercayaan menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem animasi popular BoBoiBoy Movie 2. Foto Aizuddin Saad
FAIZAL teruja diberi kepercayaan menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem animasi popular BoBoiBoy Movie 2. Foto Aizuddin Saad

Faizal Tahir dekati peminat muda

KUALA LUMPUR: Faizal Tahir menyifatkan, peluang menyanyikan lagu tema filem animasi popular, BoBoiBoy Movie 2 sebagai ruang mendekati kelompok peminat baharu.

Lagu ciptaannya bersama Mike Chan yang diberi judul Fire & Water itu akui Faizal, sarat mesej positif dan nilai murni, sesuai untuk kelompok sasaran iaitu kanak-kanak.

“Saya bangga dapat menyumbangkan idea kreatif untuk filem ini menerusi lagu. Tambahan pula, jenama filem ini pernah mencetus fenomena sedikit masa lalu.

“Siapa yang tidak kenal dengan karakter BoBoiBoy? Anak saya juga meminati animasi ini dan secara peribadi, saya berbangga dapat bekerja dengan produksi yang sesuai untuk dinikmati seisi keluarga.

“Saya tidak sangka menjadi pilihan produksi filem ini, maklum saya bukan muda lagi. Di saat pasaran lebih berpihak kepada artis muda, saya masih diberi kepercayaan menyuntik emosi dan mood dalam filem ini,” katanya.

Filem terbitan Animosta Studios itu bakal ditayangkan serentak di 500 pawagam di lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam bermula 8 Ogos depan.

Mengenai perkembangan terbaru, Faizal berkata, dia turut mempertaruhkan single balada, Ratu yang disifatkannya begitu istimewa kerana proses pembikinannya yang lebih teliti.

“Saya dan pasukan kreatif mengambil masa lima tahun menyiapkan lagu ini, malah susunan muzik ditukar enam kali untuk memastikan hasil yang terbaik.

“Menerusi lagu ini, saya cuba melakukan eksperimen dengan menghasilkan sesuatu yang unik, tetapi mempunyai elemen kontemporari untuk halwa telinga.

“Lirik lagu ini berkisar luahan rasa lelaki terhadap wanita yang dicintai, sekali gus menghargainya dengan memberi penghormatan tertinggi sebagai ratu hidup,” katanya.

Berita Harian X