Khamis, 27 Jun 2019 | 3:07pm
FIZO berharap dia dan Mawar bertemu jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka. Foto IG Fizo Omar

Doakan kami bertemu jalan penyelesaian terbaik - Fizo Omar

KUALA LUMPUR: Pelakon Fizo Omar, mengakui masih menunggu keputusan mahkamah berhubung kemelut yang melanda rumah tangganya.

Fizo berkata, apa juga keputusannya nanti, dia akan menerima dengan hati terbuka, pada masa sama meminta orang ramai mendoakan dirinya dan isteri, Mawar Abdul Karim.

“Doa yang baik-baik supaya saya dan Mawar dipertemukan jalan yang terbaik. Tidak akan berlaku sesuatu perkara tanpa izin Allah dan sekiranya terjadi, saya anggap itu sebagai takdir.

“Saya percaya perancangan Allah adalah yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya. Saya amat berharap, semua pihak dapat memberi ruang untuk kami menyelesaikan isu ini sebaik mungkin,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.

Luahan yang turut disertakan foto keluarganya itu adalah rentetan beberapa laporan selepas pasangan itu meraikan Syawal berasingan, selain tiada lagi gambar terbaru bersama di laman sosial masing-masing.

Sebelum ini, pelakon, pengacara dan usahawan terbabit mengakui, hubungan mereka berdepan kemelut, malah Mawar dikatakan sudah mendapatkan nasihat peguam.

Tambah Fizo atau Wan Hafizol Wan Omar, 34, dia memaafkan segala komen mahupun fitnah yang dilemparkan warganet kerana maklum, mereka tidak tahu perkara sebenar.

Katanya lagi, dia berharap semua pihak memahami keadaan mereka yang masih mencari jalan terbaik dalam menangani kemelut itu.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakan media, kawan dan peminat yang prihatin apabila bertanya khabar mengenai cabaran dalam rumah tangga saya serta Mawar.

“Buat masa ini, saya tidak dapat menjawab segala persoalan. Tidak dinafikan rumah tangga saya menghadapi sedikit cabaran. Saya amat berharap, terutama pihak media dan warganet bersabar serta memahami situasi kami,” katanya.

Fizo bagaimanapun, menganggap ujian dihadapi mereka mempunyai hikmah.

“Sesiapa yang mendirikan rumah tangga, pasti mempunyai impian untuk hidup bahagia dan mempertahankannya hingga ke jannah.

“Tetapi, apabila sampai waktunya, kita dipilih Allah untuk diuji dan itu bermaksud, kita mampu menghadapinya. Kita perlu percaya Allah tidak pernah zalim terhadap hamba-Nya.

“Mungkin setiap kejadian yang berlaku nampak buruk di mata manusia, tetapi tidak di sisi Allah. Hikmah bergantung kepada kita yang menerimanya,” tulisnya.

Pada masa sama, dia menegaskan, biar apa juga yang berlaku terhadap perkahwinan mereka nanti, dia dan Mawar akan terus berbaik demi anak tunggal, Wan Maryam.

“Insya-Allah, hubungan saya dan Mawar akan terus baik demi membesarkan dan mendidik Wan Maryam. Apa juga yang terjadi, Mawar tetap ibu kepada anak kami,” katanya.

Pasangan itu diijabkabulkan pada November 2013 dan dikurniakan Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.

Berita Harian X