Khamis, 27 Jun 2019 | 9:22pm
PELAKON, Fatin Afeefa, sekali lagi menjadi perhatian apabila namanya dikaitkan dengan isu menjalinkan hubungan dengan suami orang. - NSTP/Aziah Azmee

Fatin nafi bercium di tempat awam

KUALA LUMPUR: Sekali lagi terpalit kontroversi menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang, Fatin Afeefa, 24, menafikan pernah berkucupan dan berpelukan di tempat awam seperti dipersoalkan netizen.

Kontroversi terbaru itu dibangkitkan warganet menerusi ruangan komen video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, sekitar enam jam lalu.

Melalui komen itu, Fatin didakwa pernah mengunjungi sebuah kedai di KLCC dan dilihat berkelakuan sumbang dengan seorang lelaki.

Menjelaskan dirinya jarang berkunjung ke pusat beli-belah terkenal di ibu kota itu, di mana perlakuan sumbang membabitkannya konon berlaku, pelakon wanita terbabit memilih untuk tidak melatah dengan dakwaan yang dianggap fitnah berkenaan.

“Saya adalah manusia yang paling jarang ke pusat beli-belah KLCC. Tetapi, tidak mengapa kerana lebih banyak fitnah saya terima, lebih banyak pahala yang saya dapat.

“Menikmati setiap saat dan detik ketika diuji, saya menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan kerja mereka,” jawab Fatin.


JAWAPAN Fatin terhadap dakwaan warganet di laman sosial Instagramnya, beberapa jam lalu.

Usaha BH Online untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu berhubung perkara terbabit bagaimanapun tidak membuahkan hasil.

Sebelum ini, Fatin menjadi perhatian ramai apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang. Kecurangan mereka dikatakan dibongkar sendiri oleh isteri lelaki terbabit menerusi hantaran di media sosial.

Fatin pernah berkahwin dengan pelakon, Adam Shahz, pada 21 Disember 2013 dan bercerai talak satu pada 20 Mei 2017. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.

Berita Harian X