Jumaat, 28 Jun 2019 | 9:00am
AJAK berharap peminat tidak memberi tekanan dan mencampuri urusan peribadi artis. Foto Nurul Shafina Jemenon

'Jangan ghairah canang masalah peribadi di laman sosial'

PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon, Ajak Shiro memohon peminat

tidak memberi tekanan kepada selebriti, selain tidak mencampuri urusan ketika mereka berdepan kemelut peribadi.

Ajak atau nama lengkapnya Mohamad Hanaffi Razak, 33, akur keterbukaan segelintir selebriti berkongsi kehidupan peribadi di laman sosial turut membuka ruang kepada peminat untuk memberikan pandangan mereka.

Namun, katanya apa juga masalah yang dilalui, terutama berkaitan rumah tangga harus diselesaikan sendiri tanpa campur tangan orang luar.

“Sejujurnya, saya takut apabila diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda kehidupan peribadi selebriti kerana kita tidak dapat menduga masa hadapan.

“Nasihat saya, masalah keluarga perlu diselesaikan suami dan isteri tanpa dipengaruhi orang luar. Apabila terlalu terbuka berkongsi, orang lain pula yang cuba membuat keputusan bagi pihak kita.

“Mereka tidak tahu apa yang kita lalui, jadi lebih molek setiap kemelut diselesaikan tanpa pembabitan orang luar. Bimbang jika mendengar cakap orang, kita pula yang akan menyesal pada kemudian hari,” katanya.

Ajak berkata demikian ketika mengulas pendekatan segelintir selebriti yang menjadikan media sosial sebagai ruang untuk meluahkan masalah peribadi.

Anggota kumpulan Shiro itu ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Yang Mano ciptaan Altimet dan Ezra Kong, semalam.

Ajak yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Afifah Amin pada 6 Jun 2009 berkata, ini adalah masa terbaik untuk dia kembali menggilap bakat nyanyiannya selepas meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio Hot FM, Februari lalu.

“Saya berharap single ketiga ini dapat membuka mata peminat untuk menerima kehadiran saya sebagai penyanyi secara serius,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata iaitu Mohamad Jat Thaqif ,9, Mohamad Had Thaqif, 6, dan Nada Soffea, 4, berkata dia turut menampilkan dua anaknya dalam muzik video lagu itu.

“Saya bersedia mengetengahkan mereka bukan untuk mencari populariti, sebaliknya mahu meluangkan masa bersama dua anak yang semakin membesar,” katanya.

Berita Harian X