Sabtu, 29 Jun 2019 | 1:30pm
PENYANYI, Syamel, kini turut mencipta nama sebagai komposer. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Syamel teruja kembali 'solo'

KUALA LUMPUR: Penyanyi bervokal mantap, Syamel, 25, mengaku tidak sabar untuk kembali dengan lagu solo selepas tampil bersama dua dendangan duet, sebelum ini.

Menurut Syamel juga, selepas single Kau Pun Sama yang berentak rancak, dia akan kembali mengalunkan irama balada meruntun jiwa.

“Sepatutnya, projek rakaman lagu solo sudah lama bermula. Namun, ia terpaksa ditangguhkan kerana saya terikat dengan projek rakaman lagu runut bunyi sebuah filem bersama Ernie (Zakri), iaitu Takkan Terlerai, dan juga lagu hari raya bertajuk Seru Hari Lebaran.

“Kini, selepas semua komitmen itu selesai, barulah saya rasa selesa untuk memberikan tumpuan terhadap lagu baharu. Lagu juga sudah ada, cuma belum siap sepenuhnya, terutama dari segi gubahan muzik. Insya-Allah, saya akan cuba menyiapkannya secepat yang boleh,” katanya kepada BH Online.

Khabarnya, buah tangan terbaru pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu Ke- 32 ini mempunyai sentuhan muzik Latin yang diinspirasikan daripada penyanyi terkenal luar negara.

SYAMEL dan Ernie Zakri ketika memeriahkan majlis hari raya editorial NSTP di Balai Berita. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Semakin membina nama dalam bidang penciptaan lagu, pemenang kategori Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM 22) ini turut menjadi buruan penyanyi yang ingin mendapatkan karya ciptaannya.

“Saya ada juga didatangi beberapa penyanyi, baharu dan lama, yang mahu menyanyikan lagu ciptaan saya. Alhamdulillah, saya bersyukur apabila bakat dan kerja keras saya sebelum ini mendapat perhatian.

“Saya sendiri tidak memilih penyanyi yang bakal mengalunkan karya ciptaan saya. Jika lagu terbabit dikira sesuai dengan vokal dan cita rasa mereka, saya dengan berbesar hati akan memberikannya kepada pihak berkenaan,” Syamel atau nama penuhnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly.

Berita Harian X