Sabtu, 29 Jun 2019 | 5:46pm
PELAKON, Fizo Omar dan isteri, Mawar Abdul Karim. - NSTP/Aziah Azmee

'Jangan buat spekulasi rumah tangga kami'

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Fizo Omar, Mawar Abdul Karim, berharap orang luar tidak membuat spekulasi mengenai situasi membabitkan rumah tangga mereka bagi mengelakkan sebarang salah tafsiran.

Kata usahawan itu, setiap masalah antara suami isteri harus ditangani bersama tanpa campur tangan pihak lain, kecuali kedua-dua ibu bapa pasangan terbabit.

"Jika ada pihak lain campur tangan, perhubungan akan menjadi lain,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.

Mawar juga turut menekankan kepentingan komunikasi antara suami isteri dalam memastikan perhubungan berlangsung dengan sempurna.

"Apabila kurangnya komunikasi, benda kecil pun akan menjadi besar. Hanya saya dan Fizo sahaja tahu (dan) rasa apa yang kami lalui sekarang ini. Diharap semua pihak jangan buat apa-apa spekulasi mengenai rumah tangga kami," katanya.

Katanya lagi, ujian yang berlaku ketika ini adalah dugaan berat buatnya dan suami, namun perkara itu membuatkannya perlu bermuhasabah selain lebih dekat dengan Allah.

"Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya dan tentu saya perlu muhasabah, mendekatkan diri dengan Allah. Pasti ada sebab Allah menguji kita dan tidak perlu asyik nampak kesalahan orang atau pasangan sahaja (kerana) diri kita belum cukup sempurna.

"Mungkin ini ujian berat untuk saya dan Fizo hadapi. Setiap kesulitan pasti ada jalan daripada Allah. Pertemuan, jodoh, ajal (dan) maut semua adalah di tangan Tuhan. Semua pasangan mahu mempertahankan perkahwinan," kata wanita berkenaan lagi.

Pada masa sama, Mawar berkata, mungkin kadang kala dia sebagai ibu terlepas pandang banyak perkara, namun dia dan Fizo akan memberikan yang terbaik buat anak tunggal mereka, Wan Maryam.

Malah, dia turut mengingatkan pasangan yang dikurniakan zuriat supaya berpegang kepada amanah dan memberi didikan sebaik mungkin selain menghargai setiap kurniaan itu.

"Kehidupan kita juga akan berubah 360 darjah jika Allah memberi amanah rezeki 'anak’ untuk kita. Banyak benda kita perlu ‘korban’ demi anak dan tak semua ibu bapa sanggup melakukannya.

"Mungkin kita kadangkala terlepas pandang banyak perkara sebelum ini. Insya-Allah, saya dan Fizo sentiasa memberikan yang terbaik buat Maryam.

"Benar, semua mengimpikan kebahagiaan, mempunyai keluarga (kehidupan sendiri) dalam perkahwinan, impikan kebahagiaan dunia akhirat serta mendapat berkat," tambahnya.

Menurut wanita berusia 30 tahun itu, sebelum ini dia tidak pernah menggunakan media sosial sebagai medan untuk meluahkan perasaan atau cerita peribadi kerana baginya, kehidupan adalah hak peribadi.

Terdahulu, dalam kenyataan kepada media, Mawar mengakui mendapatkan khidmat nasihat peguam mengenai isu rumah tangga yang dialami, selepas ramai tertanya-tanya mengenainya selepas dia dan Fizo beraya berasingan.

Fizo pula memuat naik status di Facebook yang antara lain berkata, dia menerima apa juga keputusan mahkamah dan memaafkan semua pihak.

Menerusi status sama, Fizo mengharapkan doa semua pihak supaya mereka dapat mencari penyelesaian terbaik dalam isu rumah tangga.

Malah, Fizo juga memberi gambaran hubungannya dengan Mawar akan terus baik demi anak mereka.

Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang puteri yang kini berusia dua tahun.

Berita Harian X