Ahad, 30 Jun 2019 | 7:42pm
Shima bersyukur bakal mendapat anak lelaki, Ogos depan. Foto Ihsan Shima Anuar

Shima Anuar hamil anak lelaki

KUALA LUMPUR: Impian Shima Anuar menimang cahaya mata lelaki tercapai apabila mengumumkan jantina bayi dikandung, petang tadi.

Hamil kali kedua, Shima dan suami, Mohd Solih Taha dijangka menyambut kelahiran putera tersayang, Ogos depan.

Shima atau nama sebenarnya, Noor Hashimah Anuar yang memasuki bulan kelapan kehamilan, membuat pengumuman itu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Saat dimaklumkan bakal mendapat anak lelaki, saya amat bersyukur... Kira lengkaplah sepasang. Anak perempuan sulung, Marian Sophian berusia setahun enam bulan bakal mendapat adik. tak lama lagi.

“Sebelum ini, dalam kehamilan pertama, saya memang mahukan bayi lelaki... Cuma rezeki datang kali ini,” katanya kepada BH Online.

Shima berkata, dia dijangka melahirkan anak keduanya itu secara pembedahan pada 8 Ogos depan.

Ditanya pengalaman mengandung kali ini, Shima mengaku cepat letih.

“Tapi saya masih boleh bertahan dan mengharunginya. Jarak usia setahun antara anak sulung dan kandungan ini difikirkan baik untuk saya hamil lagi,” katanya.

Shima turut bersyukur anak sulungnya akrab dengan dua beradik tiri, hasil perkahwinan terdahulu suami.

“Marian beruntung ada abang dan kakak... Sekarang tunggu dapat adik pula.

“Saya juga anggap dua beradik itu macam anak sendiri. Saya bersyukur hubungan dengan bekas isterinya juga sangat baik. Saya sangat bahagia kerana ada keluarga tambahan,” katanya.

Shima bernikah Mohd Solih pada 8 April 2017.

Berita Harian X